fb fb fb fb fb

10 prakarsa untuk pendidik, KPM komited jaga kebajikan

AYER KEROH, 16 Mei- Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengumumkan 10 inisiatif yang ditambah baik dalam memperkasa kebajikan guru pada Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan 2023 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh.

Menterinya, Fadhlina Sidek berkata 10 prakarsa tersebut dapat membantu mengurangkan kos sara hidup guru dan merancakkan ekonomi negara yang sekali gus meningkatkan kesejahteraan rakyat.

Beliau berkata antara prakarsa tersebut termasuklah menyediakan peluang merehatkan minda melalui Program Cuti-cuti Cikgu mampu milik.

Selain itu, KPM telah menetapkan agar Sambutan Hari Guru tahunan mulai tahun ini disambut di peringkat kebangsaan dan sekolah sahaja sekali gus memansuhkan sebarang kutipan sumbangan daripada guru bagi tujuan majlis tersebut.

"Prakasa yang seterusnya adalah usaha KPM bersama-sama dengan Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) untuk memperkasa urusan pengambilan pegawai perkhidmatan pendidikan. Insya-Allah, pada tahun ini KPM dan SPP akan menyelesaikan semua isu kekurangan guru di seluruh negara.

Kita akan perluaskan pengambilan graduan-graduan berpotensi tinggi dari universiti swasta, universiti luar negara dalam mengisi kekosongan guru mata pelajaran kritikal dan sukar mendapat calon dari universiti awam seperti Bahasa Inggeris, Bahasa Melayu, Reka Bentuk Teknologi dan Pendidikan Islam," kata Fadhlina dalam ucapannya sempena Majlis Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan Tahun 2023 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), yang turut dihadiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.


(Menteri KPM, Fadhlina Sidek mengumumkan perkara berkenaan dalam ucapannya sempena Majlis Pelancaran
Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan Kali Ke-52 Tahun 2023, di Ayer Keroh)

Inisiatif lain yang ditambah baik termasuklah memberi kelonggaran kepada pemakaian baju korporat rasmi KPM kepada guru sewaktu bertugas bagi memberi keselesaan kepada mereka.

Beliau berkata KPM juga akan memperluas sekolah Komprehensif K9 dengan pertambahan 10 buah sekolah lagi dalam usaha mengatasi isu keciciran murid khususnya di kawasan pedalaman dan orang asli serta perluasan Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih (SBJK) ke negeri Sabah. 

Inisiatif lain yang diumumkan termasuk penambahbaikan surat Pekeliling Ikhtisas Bil 5/2002 lawatan sekolah pada hari persekolahan dan mempertingkat peranan kumpulan Guru Insani Malaysia.

Selain itu, KPM akan turut mempertingkatkan peranan Yayasan Guru Tun Hussein Onn (YGTHO) dalam meningkatkan profesionalisme guru dan menjaga kebajikan guru serta menambah baik Standard Guru Malaysia 2.0.

Media Baharu