fb fb fb fb fb

10 operator bekalan air mohon semak semula tarif - SPAN

Foto hiasan

CYBERJAYA, 9 Julai -Suruhanjaya Perkhidmatan Air (SPAN) memaklumkan menerima permohonan semakan semula kadar tarif air daripada operator perkhidmatan bekalan itu di 10 negeri, setakat 30 Jun lalu.

Menerusi satu kenyataan, SPAN berkata, ia melibatkan operator perkhidmatan di Pulau Pinang, Perlis, Kedah, Kelantan, Terengganu, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Johor dan Pahang.

Kenyataan sama menyebut, kesemua permohonan berkenaan masih di peringkat penelitian dan belum dimuktamadkan.

"SPAN akan memastikan bahawa setiap aspek diambil kira sebelum sebarang pertimbangan diberi bagi memastikan kesejahteraan 27.2 juta pengguna diutamakan.

"Selain, kemampuan operator untuk terus memberikan perkhidmatan turut diberi perhatian," kata kenyataan itu.

Semalam, Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, negeri itu merancang menangguhkan kenaikan tarif air sekurang-kurangnya sehingga enam bulan sekiranya kadar baharu itu diluluskan oleh Kerajaan Persekutuan.

Menurutnya, cadangan semakan tarif itu telah dikemukakan kepada SPAN dan masih menunggu kelulusan Jemaah Menteri sebelum diwartakan untuk pelaksanaan.

KHAIRUL AMRI BIN YASIN