
PARLIMEN, 10 Februari – Sebanyak 10 kluster baharu tuberkulosis (tibi) dikenal pasti di tujuh negeri setakat 7 Februari 2026.
- Sepuluh kluster tibi baharu dikenal pasti setakat 7 Februari 2026.
- Selangor mencatat empat kluster baharu dan jumlah kluster aktif tertinggi iaitu 13 kluster.
- Saringan dilakukan di institusi berisiko tinggi dengan pemeriksaan klinikal, X-ray, ujian kahak dan teknologi molekular.
- KKM laksanakan DOT harian dan galakkan etika batuk serta pemakaian pelitup muka untuk kurangkan penularan.
Daripada jumlah itu, Selangor mencatatkan empat kluster (10 kes), manakala Johor (37 kes), Kedah (2 kes), Kelantan (2 kes), Pahang (4 kes), Perlis (2 kes) dan Sabah (5 kes) masing-masing satu kluster.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, saringan tibi dilaksanakan di institusi berisiko tinggi seperti sekolah berasrama, penjara dan asrama pekerja mengikut garis panduan Sistem Maklumat Tuberkulosis (TBIS).
“Saringan merangkumi pemeriksaan simptom seperti batuk berpanjangan, demam, hilang selera makan dan penurunan berat badan secara mendadak, selain pemeriksaan klinikal, imbasan X-ray dada serta ujian kahak mikroskopik dan kultur.
“Kita juga menggunakan kaedah terkini termasuk teknologi molekular dan genetik,” katanya.
Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen Kuala Langat, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi, ketika sesi Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Menurut beliau, sepanjang tahun lalu sebanyak 88 kluster tibi dilaporkan di seluruh negara melibatkan 254 kes, dengan 35 kluster masih berstatus aktif.
Selangor merekodkan jumlah kluster aktif tertinggi dengan 13 kluster, diikuti Kedah enam kluster, Sarawak lima kluster serta Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya masing-masing lima kluster.
Johor pula mencatatkan tiga kluster, manakala Kelantan dua kluster dan Terengganu satu kluster.
Bagi mengurangkan risiko penularan, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) turut melaksanakan pemantauan rawatan melalui terapi pemerhatian langsung (DOT) secara harian di fasiliti kesihatan, selain menasihatkan orang ramai mengamalkan etika batuk dan pemakaian pelitup muka.