KUALA NERUS, 13 November- Seramai 10 ahli Pertubuhan Orang Cacat Penglihatan Malaysia (SBM) cawangan Terengganu berpendapatan isi rumah B40 terpilih menjadi peserta perintis projek tanaman Fertigasi dan Hidroponik Melon Manis Terengganu.
Projek yang akan bermula pada tahun depan itu mendapat sokongan dana menerusi Yayasan Hasanah dan Kementerian Kewangan berjumlah RM250,000.
Universiti Malaysia Terengganu (UMT) sebagai rakan kerjasama pula akan melakukan pemindahan ilmu tanaman fertigasi terkini.
Lebih menarik apabila pihak UMT mengambil inisiatif memperkenalkan Modul Braille tanaman fertigasi Melon Manis Terengganu untuk peserta terlibat.
Jelas Pensyarah Kanan Fakulti Perikanan dan Sains Makanan UMT, Dr Wan Zaliha Wan Sembok, semua peserta terlibat terlebih dahulu diberi tunjuk ajar secara teori dan amali menerusi kelas yang diadakan dua kali seminggu sejak Mac lalu.
"Kami ajar cara bancuh baja, cara jaga pokok sampailah dapat kebiasaannya grednya boleh cecah gred A. Kalau untuk projek rintis ini, atau permulaan kami tanam 200 pokok dan anggaran 150 kg. Satu kg dijual dengan harga RM12. Kalau RM100 sekilo, dapatlah lebih kurang dalam RM1100," katanya.
Beliau berkata demikian pada hari tuaian dan pengendalian lepas tuai projek rintis projek Melon Manis Terengganu, di Kampung Teluk Ketapang.
Pengerusi SBM Terengganu, Mohd Imranfaisal Zulkifli yang mengetuai projek tersebut berkata
program berjaya mencipta pekerjaan dengan waktu fleksibel, sekali gus dapat meningkatkan kemahiran dan kompetensi keusahawanan tani para peserta.
Pada sesi pembelajaran tersebut peserta didedahkan dengan kitaran tanaman selama 65 hari sehingga tuaian melibatkan 200 polybag bagi sebuah khemah khas atau ‘rumah hijau’ berharga RM10,000 seunit dan peralatan, baja, biji benih yang disediakan bagi menjayakan projek tersebut.
Setiap polybag mampu mengeluarkan sebiji atau dua buah melon manis Terengganu dianggarkan nilaian beratnya adalah sekitar satu sehingga 1.5 kg.