fb fb fb fb fb

1 kematian, 395 kes denggi dilaporkan di Perlis

KANGAR, 29 Jun - Kumulatif kes denggi di negeri ini merekodkan sebanyak 395 kes serta satu kematian akibat komplikasi kes denggi bagi tempoh Januari sehingga 24 Jun lalu.

Pengarah Kesihatan Negeri, Dr Ismuni Bohari berkata angka itu menunjukkan peningkatan sebanyak 2, 533 peratus berbanding tempoh yang sama tahun 2022 iaitu hanya 15 kes.

"Daripada jumlah kes denggi yang dilaporkan pada tahun ini, sebanyak 181 kes atau 45.8 peratus telah dimasukkan ke hospital yang mana 22 kes denggi tersebut memerlukan rawatan lanjut di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Tuanku Fauziah. 

"Terdapat 38 wabak telah dilaporkan pada tahun ini berbanding hanya 1 wabak untuk tempoh yang sama pada tahun 2022," katanya menerusi kenyataan pada Khamis.

Katanya, pelbagai aktiviti kawalan dan pencegahan telah dilaksanakan oleh JKN Perlis bagi memutuskan rantaian jangkitan seperti penghapusan tempat pembiakan, aktiviti larvaciding, semburan kabus, pendidikan kesihatan dan pemeriksaan premis. 

Tambah beliau, setakat 24 Jun tahun ini sebanyak 44, 694 premis telah diperiksa dan 117 kompaun di bawah Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit (APSPP) 1975 [Akta 154].

"Nilai kompaun sebanyak RM58,500 telah dikeluarkan kepada pemilik premis yang didapati positif pembiakan nyamuk Aedes," tambahnya.

Katanya, usaha untuk membanteras kejadian demam denggi memerlukan kerjasama semua pihak termasuk pihak berkuasa tempatan (PBT), pemimpin setempat, agensi kerajaan, agensi swasta, badan bukan kerajaan dan semua lapisan komuniti. 

Sehubungan itu, JKN Perlis menyeru supaya semua sektor yang terlibat memainkan peranan dalam memastikan persekitaran premis, kawasan kediaman dan tempat kerja bersih serta bebas tempat pembiakan nyamuk. 

Media Baharu