fb fb fb fb fb

1,450 asnaf dan anak yatim di Sungai Siput terima sumbangan Aidilfitri

Foto RTM

SUNGAI SIPUT, 23 Mac- Seramai 1,450 asnaf dan anak yatim di Sungai Siput, Perak menerima sumbangan kotak makanan dan wang tunai menjelang perayaan Aidilfitri.

Nasib golongan memerlukan terus mendapat perhatian dengan keseluruhan peruntukan berjumlah RM150,000.
 
Sumbangan disampaikan Exco Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Mohd Zolkafly Harun.
 
"Sebenarnya dalam itu ada minyak, milo, beras pulut dan pelbagai lagi. Kita telah memperuntukkan sebanyak lebih kurang RM150,000 pada tahun ini untuk golongan asnaf selain khusus untuk Ramadan dan majlis Aidilfitri," kata Datuk Mohd Zolkafly kepada pemberita, hari ini.
 
Pemilihan penerima berdasarkan senarai diberikan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK).
 
Sumbangan tersebut sedikit sebanyak dapat menampung keperluan mereka untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi.
 
"Alhamdulillah, dapat membantu saya selaku ibu tunggal. Meringankan beban saya, bersyukur ada yang prihatin. Terima kasih kepada yang memberi sumbangan," kata Hamimah Sudin.

"Ya Allah, Ya tuhanku syukur kepada Allah. Mak cik memang orang susah. Mak cik bekerja tapi pendapatan tak seberapa. Dapat bantuan ini, ia meringankan beban mak cik," kata Rosni Jasmin.

"Seronoklah, dapat tampung perbelanjaan sikit-sikit lah. Lagi-lagi dah nak sambut raya, sedikit sebanyak membantu lah pada orang yang tak mampu macam kami ini," kata Juliana Awang.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM