
KUALA LUMPUR, 12 Mac -Kira-kira 1.16 juta isi rumah telah menerima manfaat daripada inisiatif Bank Makanan bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sejak 2020 hingga kini.
- Jemput semua NGO sebagai rakan strategik bagi memastikan tiada golongan terpinggir atau tersasar dalam pengagihan makanan.
- Inisiatif i-FB diperluas untuk menarik penyertaan industri, NGO dan institusi bagi meluaskan agihan makanan kepada golongan memerlukan.
- Tangani pembaziran makanan: anggaran 17,000 tan metrik sisa makanan sehari, kira-kira 4,000 tan boleh diselamatkan dan dimanfaatkan semula.
- KPDN salurkan 14 mesin retort melalui Inkubator i-FB; sedang runding mekanisme pengiktirafan dan insentif dengan Kementerian Kewangan.
Menteri berkenaan Datuk Armizan Mohd Ali berkata bagaimanapun, jumlah sebenar penerima manfaat inisiatif berkenaan mungkin lebih besar memandangkan angka itu hanya berdasarkan Sekretariat Bank Makanan di bawah KPDN, selain pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) turut menggerakkan inisiatif tersebut secara persendirian di seluruh negara.
“Kita mahu program ini bukan hanya mendapat impak yang besar tetapi kita dapat pastikan tidak ada golongan yang terpinggir atau tersasar… maka kita jemput semua NGO ini untuk bergerak sebagai rakan strategik untuk inisiatif bank makanan ini,” katanya semasa sidang media Program Ronda Ramadan Ihsan Bank Makanan (i-FB) di sini hari ini.
Beliau berkata kerajaan kini memperkasa gerakan itu melalui inisiatif i-FB yang bertujuan menarik penyertaan lebih banyak rakan strategik termasuk industri, NGO dan institusi bagi memperluas pengagihan makanan kepada golongan memerlukan.
Armizan juga berkata usaha itu penting dalam menangani isu pembaziran makanan susulan laporan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) yang mendapati Malaysia dianggar menghasilkan kira-kira 17,000 tan metrik sisa makanan setiap hari, dengan sekitar 4,000 tan metrik daripadanya masih boleh diselamatkan serta dimanfaatkan semula.
Beliau berkata lebihan makanan yang berjaya diselamatkan bukan sahaja boleh disalur kepada golongan memerlukan malah membantu mengurangkan sisanya di tapak pelupusan sekali gus mengurangkan kesan terhadap alam sekitar seperti pelepasan gas metana. – BERNAMA