JOHOR BAHRU, 21 Februari- Isu projek sakit perumahan PR1MA, Residensi Larkin Indah di Johor Bahru yang mengalami kelewatan sejak kira-kira dua tahun, akhirnya selesai apabila menerima Sijil Penyiapan dan Pematuhan (CCC) pada 7 Februari lalu.
Seramai 1,124 pembeli kediaman berkenaan bakal menerima kunci masing-masing selewat-lewatnya pertengahan Mac nanti.
Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Mohd Jafni Md Shukor meminta pihak pemaju supaya dapat mempercepat proses penyerahan kunci kepada pembeli, termasuk mengadakan hari terbuka.
Beliau berharap proses serahan kunci akan berjalan dalam tempoh 14 hari, berbanding sasaran pemaju iaitu dua hingga tiga bulan.
"Selepas penyerahan deposit, PR1MA akan serahkan kunci. Kebiasaannya, pemilik akan dibawa ke setiap unit rumah untuk memastikan tahap kepuasan rumah contohnya tiada kerosakan dan sebagainya.Namun, saya minta singkatkan. Serah kunci dan periksa rumah sendiri. Tidak perlu tenaga kerja yang ramai dan boleh jimatkan masa."
"Jika ada isu masa melawat rumah, datang ke kaunter untuk ketengahkan kerosakan atau aduan," kata Mohd Jafni kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Sijil Notis Milikan Kosong, VP kepada sebahagian pembeli Residensi Larkin Indah, yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan dan Anggota Perbadanan PR1MA, Datuk Seri Mohd Nazri Md Shariff.
Residensi Larkin Indah merupakan salah satu daripada lima projek sakit yang dipantau Jawatankuasa Projek Sakit dan Terbengkalai bagi tahun ini.
Empat lagi projek sakit yang akan diselesaikan adalah di Tangkak, Muar, Johor Bahru dan Kulai, membabitkan nilai hartanah keseluruhan RM700 juta.
Dalam pada itu, pembeli yang ditemui bersyukur apabila isu melibatkan kediaman berkenaan berjaya diselesaikan.
"Perasaan lega, sebab masa tandatangan SPA itu dari sebelum kahwin, sampai sekarang sudah ada dua orang anak. Baru saya dapat notis daripada PR1MA untuk ambil kunci," kata Siti Sarah Kamar Ludin.
"Teruja sebab ini rumah pertama. Saya sangat gembira. Walaupun kena tunggu lama daripada perjanjian, tetapi saya rasa bersyukurlah. Terima kasih kepada YB yang usahakan untuk kami semua," kata N. Gogilam.