SAUDARA PENGARANG
Masa merupakan suatu perkara yang amat berharga dalam kehidupan seorang insan. Oleh sebab itu, Allah SWT telah berfirman dalam Surah al-‘Asr: "Demi masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar."
Ibn Kathir menukilkan pandangan Imam Syafie, katanya: "Sekiranya manusia mentadabbur (apa yang terkandung dalam) surah ini (al-‘Asr), nescaya sudah memadai bagi mereka." Mereka akan menghargai dan memanfaatkan masa yang dianugerahkan oleh Allah SWT.
Berdasarkan ayat di atas, terang lagi bersuluh bahawa ia menjelaskan tentang kepentingan masa, lebih-lebih lagi jika seseorang itu berada dalam bulan-bulan mulia seperti Ramadan yang amat diberkati. Setiap detik berlalu merupakan peluang untuk meraih keredaan Allah SWT dan merebut ganjaran pahala yang dijanjikan oleh-Nya. Tambahan pula, ganjaran pahala dalam bulan ini dilipatgandakan sehingga 70 kali ganda.
Hal ini berdasarkan hadis Rasulullah SAW: "… Barang siapa yang mendekatkan diri kepada Allah dengan satu perkara sunat (maka ganjarannya) seolah-olah dia telah melaksanakan satu kefarduan pada bulan yang lain. Barang siapa yang melaksanakan satu kewajipan, (maka ganjarannya) seolah-olah dia telah melaksanakan 70 kefarduan pada bulan yang lain." (Hadis riwayat Ibn Khuzaimah dan al-Baihaqi)
Hadis ini dengan jelas memberikan galakan kepada orang yang berpuasa pada bulan Ramadan untuk berlumba-lumba mengerjakan amalan soleh pada bulan mulia ini. Amatlah rugi jika umat Islam tidak mengambil peluang ini sebaiknya.
Secara umumnya, umat Islam dapat dikategorikan kepada tiga kelompok apabila berbicara tentang nilai masa dalam bulan Ramadan. Golongan pertama ialah golongan beriman yang mengetahui kepentingan masa dalam bulan ini, lalu menghargai dan menjaganya dengan penuh teliti.
Golongan kedua pula ialah golongan lalai; mereka mengetahui kepentingan masa, tetapi mensia-siakan peluang dan ganjaran diberikan. Manakala golongan ketiga ialah golongan jahil atau tidak mengetahui kepentingan masa dan terus mengabaikannya.
Golongan pertama ialah golongan terbaik kerana telah menggunakan masa dengan efisien. Manakala golongan kedua pula perlu diberikan peringatan agar mereka kembali menjaga masa sebaiknya. Begitu juga dengan golongan ketiga yang memerlukan pengetahuan terhadap kepentingan ini sebagai panduan agar tidak mensia-siakan peluang amat berharga dalam bulan Ramadan.
- Bagi golongan beriman, mereka menyedari bahawa masa sangat berharga dan menggunakannya dengan sebaiknya. Mereka menyusun masa dengan baik pada bulan Ramadan dengan pelbagai amal ibadat dan amal kebaikan. Bermula dari bangun tidur untuk bersahur sehinggalah tidur semula, siang mereka dipenuhi dengan amal soleh seperti bertadarus al-Quran serta menghayati maknanya.
Mereka juga membaca hadis Nabi SAW, melazimi solat sunat serta berqiyamullail pada malam hari dan sentiasa berzikir kepada Allah SWT. Bagi seorang pelajar misalnya, mereka akan mengisi masa dengan menuntut ilmu, menghadiri program tafaqquh, mengulang kaji pelajaran dan membaca buku. Bagi seorang pekerja pula, mereka akan bekerja dengan bersungguh-sungguh dan penuh keikhlasan.
Selain itu, jika terdapat masa lapang, mereka akan mengisinya dengan perkara yang bermanfaat seperti mendengar ceramah agama, membaca buku atau bahan bacaan Islamik dan berfaedah, berdiskusi ilmu dan sebagainya. Mereka juga suka melibatkan diri dalam aktiviti sosial seperti bergotong-royong dalam menyediakan juadah berbuka puasa dan melaksanakan solat sunat tarawih di masjid.
Kebaikan yang mereka lakukan pada bulan ini sangat luar biasa berbanding bulan lain. Ini kerana mereka memuliakan bulan ini sebagaimana Rasulullah SAW apabila tiba bulan Ramadan, baginda akan menjadi sangat pemurah berbanding bulan yang lain berdasarkan sepotong hadis yang bermaksud: "… Apabila Jibril AS menjumpai beliau, maka beliau sangat dermawan dalam melakukan kebaikan melebihi angin yang berhembus." (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim) - Golongan kedua pula, iaitu golongan lalai - mengetahui kelebihan dan kepentingan masa dalam bulan ini, namun tetap mensia-siakan peluang ini. Hakikatnya, bulan Ramadan sepatutnya mendidik seseorang untuk lebih menghargai kepentingan masa. Namun, realiti yang berlaku adalah sebaliknya.
Masa yang sepatutnya diisi dengan amal soleh dan perkara berfaedah seperti membaca al-Quran, berzikir mengingati Allah, menuntut ilmu dan sebagainya diabaikan begitu sahaja. Keadaan mereka sebelum kedatangan Ramadan dan selepasnya langsung tidak berubah.
Mereka terus mengisi masa dengan perkara yang tidak disukai oleh Allah SWT seperti menonton perkara yang melalaikan, ketagihan media sosial, melepak sambil berbual kosong dan sebagainya. Tambahan pula, sebahagian daripada mereka berpuasa tetapi telah meninggalkan kewajipan solat. Situasi ini berlaku apabila selepas berbuka puasa, ramai yang meninggalkan solat fardu Maghrib kerana keasyikan menjamah hidangan makanan dan berbual-bual.
Alangkah ruginya penat lelah mereka menahan lapar dan dahaga ketika berpuasa, tetapi mereka meninggalkan kewajipan solat. Dalam hal ini, Nabi SAW telah mengingatkan: "Betapa ramainya orang yang berpuasa, tetapi tidak ada pahala puasa baginya, melainkan hanya berlapar sahaja." (Hadis riwayat Ibn Majah) - Seterusnya, bagi golongan ketiga iaitu orang jahil yang tidak mengetahui akan kepentingan dan kelebihan bulan ini. Bagi mereka, tiada istimewanya hari-hari dalam bulan Ramadan, sama seperti hari yang lain. Mereka menghabiskan masa tanpa mengisinya dengan amal ibadat dan amal soleh. Mereka langsung tidak tertarik dengan ganjaran pahala yang dijanjikan oleh Allah SWT. Sedangkan sewajarnya mereka menyedari akan kepentingan masa terutama dalam bulan yang barakah ini.
Justeru adalah menjadi kewajiban, seseorang itu lebih menjaga masa dalam bulan Ramadan kerana terdapat pelbagai ganjaran yang diberikan kepada orang yang beramal. Akan tetapi, masa tersebut dihabiskan dengan perkara yang langsung tidak mendatangkan faedah dan pahala. Sebagai contoh, ramai anak muda lebih memilih untuk mengisi masa mereka dengan bermain permainan video berbanding perkara bermanfaat untuk dunia dan akhirat mereka, seperti menuntut ilmu dan membaca buku. Siang dan malam dihabiskan dengan perkara yang tidak memberi manfaat.
Tambahan pula, terdapat dalam kalangan mereka yang menghabiskan masa dengan menonton drama bersiri sehingga berjam-jam dan melayari laman sosial dalam tempoh lama. Mereka mampu menghabiskan masa mereka berjam-jam melayani telefon pintar untuk menonton video yang tidak berfaedah, tetapi tidak berusaha untuk melakukan kebaikan dan memanfaatkan masa di bulan Ramadan.
Lebih parah lagi, perbuatan ini dilakukan sehingga menyebabkan mereka terlewat dalam melaksanakan kewajipan, bahkan meninggalkannya tanpa rasa bersalah dan berdosa. Perkara ini tidak sewajarnya berlaku, lebih-lebih lagi dalam bulan yang diberkati ini. Jika mereka berterusan dalam keadaan begini, sudah pasti mereka akan rugi di dunia dan di akhirat.
Hakikatnya, umat Islam perlu kembali menghayati kepentingan penjagaan masa dalam bulan Ramadan. Isilah masa dengan perkara yang boleh mendapat keredaan Allah SWT seperti membaca al-Quran dan menghayatinya, berzikir, menuntut ilmu, serta membantu orang di sekeliling di samping menjauhi segala perkara yang dilarang oleh-Nya. Berusahalah untuk menjadi golongan pertama yang beriman dan menghargai masa kerana merekalah orang-orang yang diredai Allah SWT.
Maka sewajarnya peluang keemasan ini direbut oleh semua umat Islam agar dapat menjadi insan yang lebih baik, mendapat keampunan, mencapai takwa kepada Allah SWT dan dibebaskan daripada api neraka kelak.
Profesor Madya Dr Mohd Anuar Ramli
Pensyarah, Jabatan Fiqh dan Usul
Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya
Emel:
Muhammad Syahmi Mohd Sabri
Universiti al-Azhar, Kaherah, Mesir
Emel: