Setiap malam menjadi ujian buat ibu bapa yang memiliki bayi kecil. Tangisan si manja yang tidak henti-henti kadangkala berpunca daripada perkara yang kelihatan remeh, iaitu gigitan nyamuk. Namun, kesannya bukan kecil. Ruam kemerahan dan lebam mula muncul pada kulit bayi, menandakan ketidakselesaan yang menyakitkan.
Agak membimbangkan, gangguan ini kadangkala kerap berlaku walaupun pelbagai kaedah untuk menghalau serangga telah digunakan; daripada ubat nyamuk elektrik sehingga semburan aerosol. Akhirnya, ibu bapa berada dalam dilema antara mahu melindungi si anak daripada digigit nyamuk atau mengelakkan terdedah daripada bahan kimia dalam jangka masa panjang.
Prihatin terhadap perkara itu, sekumpulan penyelidik dari Unit Biodiversiti, Institut Biosains (IBS), Universiti Putra Malaysia (UPM) memperkenalkan penawar atau kaedah alternatif yang diyakini lebih selamat, menerusi pendekatan berasaskan alam semula jadi.
Menurut Penyelaras Unit Biodiversiti IBS, Dr. Khairil Mahmud, pihaknya telah menjalankan kajian secara intensif terhadap potensi tumbuhan herba sebagai alternatif perlindungan kulit yang lebih selamat dan lembut, termasuk sesuai digunakan untuk bayi.
“Sejak awal penubuhan unit ini, kami memang aktif dalam penyelidikan berasaskan herba. Kami percaya herba tempatan masih menyimpan banyak rahsia kesihatan yang boleh dimanfaatkan secara moden,” katanya.

Penyelaras Unit Biodiversiti IBS, UPM, Dr. Khairil Mahmud dan Pegawai Sains, Julia Aziz(dari kiri)/UPM
Sebelum ini, IBS pernah memperkenalkan bunjut mandian herba yang mendapat sambutan hangat. Kejayaan itu mencetuskan penghasilan inovasi baharu, Losen Zan Insect, sejenis losen pelindung serangga berasaskan herba yang turut bertindak melembapkan kulit, meredakan kegatalan dan mempercepatkan penyembuhan luka ringan.
“Kami hasilkan formulasi ini berdasarkan kajian terperinci. Ujian makmal menunjukkan ia dapat menghalang pembiakan bakteria pada kulit sambil menghasilkan aroma semula jadi yang tidak digemari serangga,” tambah Dr. Khairil.
Pegawai Sains IBS, Julia Aziz yang terlibat dalam pembangunan produk tersebu berkata, pendekatan mesra pengguna menjadi keutamaan sejak awal penyelidikan.
“Kami mahu sesuatu yang sesuai untuk semua peringkat umur, termasuk bayi. Gabungan minyak serai wangi dan minyak argan menjadikan aromanya lembut dan tahan lama, sangat sesuai untuk aktiviti luar seperti berkebun, berkhemah atau bersantai di laman rumah,” katanya.
Formulasi ini membawa pendekatan 6 dalam 1, iaitu melindungi, melembap, melegakan, merawat, menyegarkan dan menenangkan kulit serta bebas bahan kimia berbahaya.
Melihat kepada maklum balas awal pengguna, ramai memberikan respons positif dengan membuat pembelian berulang. Ada yang menyifatkan inovasi itu sebagai “killer product” kerana kesannya sangat berkesan, selamat dan selesa digunakan.
Oleh
Nurin Amyra Amir Ahmad
Universiti Putra Malaysia