SAUDARA PENGARANG
Kejayaan Malaysia menganjurkan Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan baru-baru ini sekali lagi menyerlahkan sumbangan dan peranan besar penjawat awam yang menjadi tulang belakang pentadbiran negara.
Di sebalik penganjuran yang mendapat pujian dunia, terdapat ribuan penjawat awam dari pelbagai kementerian dan agensi yang bekerja keras, merancang serta melaksanakan setiap urusan yang berkaitan dengan penuh teliti, komitmen, disiplin dan tanggungjawab.
Hakikatnya, Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 merupakan antara acara diplomatik terbesar di rantau ini pada tahun ini; berjaya menghimpunkan barisan pemimpin utama dunia serta kuasa besar antarabangsa. Kejayaan Malaysia mengendalikannya dengan cemerlang membuktikan kecekapan, ketangkasan dan profesionalisme tinggi perkhidmatan awam negara.
Ia telah melibatkan proses penyelarasan yang sangat rapi, ketelitian dalam setiap urusan protokol, kepentingan aspek keselamatan, komunikasi yang strategik, penyediaan logistik dan tahap diplomasi yang dijayakan secara bersepadu oleh pelbagai agensi kerajaan.
Perancangan bagi penganjuran sidang kemuncak ini bukan bermula dalam tempoh singkat. Ia melibatkan persiapan berbulan-bulan yang dilaksanakan dengan teliti dan sistematik oleh penjawat awam di pelbagai peringkat.
Segala keputusan dan pelaksanaan dibuat secara berpasukan, dengan fokus kepada keberkesanan, ketepatan dan imej negara. Inilah kekuatan sebenar jentera pentadbiran awam Malaysia yang sentiasa bekerja secara senyap tetapi berkesan serta memastikan segala urusan berjalan lancar tanpa cacat cela.
Antara kementerian yang memainkan peranan penting ialah Kementerian Luar Negeri (KLN) dan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI). Pasukan penjawat awam di Wisma Putra misalnya telah memperlihatkan kehebatan diplomasi dan kecekapan rundingan yang tinggi, menyusun jadual pertemuan, protokol dan sidang dengan rapi.
Sementara itu, penjawat awam di MITI pula mengelola dan mengendalikan semua proses rundingan ekonomi dan perdagangan, termasuk kejayaan memuktamadkan Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) antara Malaysia dan Amerika Syarikat yang melindungi kepentingan ekonomi negara serta memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab pelaburan utama di Asia Tenggara.
Peranan anggota pasukan keselamatan juga amat terserlah, misalnya kerjasama erat Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta agensi keselamatan lain memastikan keselamatan pemimpin, pegawai dan delegasi luar sentiasa terpelihara.
Buktinya, sepanjang sidang berlangsung, keselamatan terkawal sepenuhnya tanpa sebarang insiden, sekali gus mencerminkan tahap kesiapsiagaan dan kecekapan tertinggi pasukan keselamatan negara.
Dalam masa yang sama, pegawai di Kementerian Komunikasi dilihat berjaya memainkan peranan penting dalam menguruskan kehadiran dan logistik ratusan media antarabangsa, di samping melaksanakan strategi komunikasi yang berkesan bagi pihak kerajaan.
Usaha teratur dan profesional ini memastikan maklumat rasmi disampaikan dengan tepat, selain menonjolkan imej Malaysia sebagai hos yang berwibawa. Liputan positif media antarabangsa terhadap kejayaan penganjuran ini adalah antara bukti pengiktirafan terhadap kemampuan penjawat awam mengurus persepsi dan reputasi negara di peringkat global.
Kejayaan Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 turut menyerlahkan kecekapan koordinasi antara semua kementerian dan agensi yang terlibat. Setiap urusan, daripada penyediaan tempat, protokol, pengangkutan hingga ke hal teknikal dan dokumentasi, dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab.
Ironinya, keupayaan penjawat awam di setiap agensi mengurus program berskala besar ini dengan lancar menunjukkan kekuatan jentera pentadbiran negara yang tersusun dan efisien.
Antara pencapaian utama sidang ini ialah pemeteraian Perjanjian Damai Kuala Lumpur (KL Peace Accord) antara Thailand dan Kemboja yang turut disaksikan oleh Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.
Kejayaan ini mengangkat Kuala Lumpur sebagai lokasi rundingan damai berpengaruh di rantau ini dan membuktikan kehebatan penjawat awam Malaysia dalam mengurus proses diplomatik yang kompleks.
Sekali lagi pasukan diplomatik dan pentadbiran di Wisma Putra berjaya memainkan peranan besar dalam memastikan rundingan ini disusun dengan teliti dan berjalan lancar. Kejayaan tersebut sekali gus mengukuhkan imej Malaysia sebagai pemain utama dalam memelihara keamanan dan kestabilan politik di rantau ASEAN.
Sidang kemuncak kali ini juga menyaksikan penyertaan rasmi Timor Leste sebagai negara anggota ke-11 ASEAN, yang memerlukan penyelarasan teknikal dan pentadbiran oleh pasukan penjawat awam Malaysia.
Selain itu, sebanyak 80 dokumen hasil sidang berjaya diterima dan diluluskan, mencerminkan tahap produktiviti serta kecekapan Malaysia sebagai pengerusi ASEAN. Setiap pencapaian ini mengandungi sumbangan besar penjawat awam dari peringkat tertinggi hingga barisan pelaksana di lapangan.
Kejayaan penganjuran ini memperkukuh hakikat bahawa penjawat awam merupakan tonggak dan tiang seri utama pentadbiran kerajaan. Mereka melaksanakan tanggungjawab dengan semangat setia berkhidmat kepada negara tanpa menuntut penghargaan, namun hasilnya jelas terpancar melalui kejayaan Malaysia di mata dunia.
Ketangkasan, kecekapan, disiplin dan kerja berpasukan yang dipamerkan menjadi cerminan profesionalisme perkhidmatan awam Malaysia yang kini diiktiraf di peringkat antarabangsa.
Kejayaan Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 juga menggambarkan kerjasama erat antara kepimpinan politik dan jentera pentadbiran awam. Gabungan antara kewibawaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan keutuhan perkhidmatan awam membuktikan kesepaduan antara dasar dan pelaksanaan.
Sinergi ini menjadikan Malaysia bukan sahaja berjaya sebagai tuan rumah, tetapi juga sebagai pengemudi penting kepada agenda ASEAN yang lebih progresif dan bersatu.
Tuntasnya, tahniah kepada Ketua Setiausaha Negara, semua Ketua Setiausaha Kementerian, pegawai serta anggota perkhidmatan awam di semua peringkat yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung dalam menjayakan agenda besar negara ini.
Kejayaan penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 bukan sekadar kejayaan diplomatik, tetapi lambang komitmen dan dedikasi penjawat awam Malaysia yang sentiasa berbakti demi maruah dan kemajuan negara.
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

Noor Mohamad bin Shakil Hameed
Timbalan Pengarah (Komunikasi Korporat)
Pusat Strategi Dan Perhubungan Korporat (PSPK)
Universiti Putra Malaysia