SAUDARA PENGARANG
Sering kali saya mendengar ungkapan daripada pesakit bahawa pada waktu muda dahulu, mereka hanya mampu memakai kaca mata walaupun keinginan untuk merawat rabun sudah lama wujud.
Ketika itu, pilihan rawatan masih terhad, dan teknologi baharu masih mahal serta belum meluas. Namun kini, apabila usia semakin meningkat dan kedudukan kewangan lebih stabil, mereka mula melihat kepada pilihan rawatan yang terkini dan lebih mudah dicapai.
Lebih menarik, apabila usia menjengah 40-an dan seterusnya, ramai mula menghargai aktiviti-aktiviti yang dahulunya sering terpinggir kerana kesibukan — menelaah ilmu, menerokai hobi baharu, menulis, memasak, menjahit, berkebun, atau sekadar menikmati saat bersama al-Quran setiap hari.
Namun, semua ini mula terganggu apabila presbiopia melanda — rabun dekat yang berlaku akibat proses penuaan kanta semula jadi dalam mata, lazimnya bermula pada usia pertengahan.
Pilihan untuk menghadapi presbiopia tidak lagi sekadar bergantung kepada kaca mata membaca atau kanta progresif — kini, dengan teknologi yang semakin canggih dan capaian yang semakin mudah, bebas kaca mata di usia ini bukan lagi angan-angan.
Presbiopia: Apa Berlaku pada Mata Kita?
Presbiopia berlaku apabila kanta semula jadi dalam mata hilang keanjalan dan tidak lagi dapat memfokuskan imej pada jarak dekat. Ianya berlaku umumnya di saat individu di kemuncak umur produktif.
Kebiasaannya, aktiviti-aktiviti seperti membaca tulisan kecil, melihat skrin telefon, menjahit, menulis atau mengisi borang mula terganggu — perkara yang dahulunya dilakukan dengan mudah.
Ramai mula terpaksa menjauhkan bahan bacaan atau mencari cahaya lebih terang untuk melihat dengan jelas. Dalam kebanyakan kes, ini mendorong kepada keperluan menggunakan kaca mata membaca atau kaca mata berkanta progresif — walaupun tidak semua serasi dengannya.
Malangnya, kaca mata berkanta progresif memerlukan masa untuk adaptasi dan penggunaannya sering berubah-ubah bergantung pada jenis aktiviti.
Penggunaan kaca mata membaca pula membawa kerumitan tersendiri — perlu sentiasa dipakai dan ditanggalkan mengikut keadaan, malah sering kali tergantung di leher kerana bimbang memerlukannya pada bila-bila masa.
Meskipun kelihatan remeh, bagi sesetengah individu, hal ini menjadi gangguan yang menjejaskan kelancaran aktiviti harian malah boleh menurunkan tahap keyakinan diri.
Hari ini, kaedah intervensi refraktif menawarkan penyelesaian yang lebih kekal — bukan sekadar untuk melihat lebih jelas, tetapi juga untuk mengembalikan keterampilan, kebebasan dan gaya hidup yang lebih aktif.
Foto BERNAMA
Pilihan Intervensi Refraktif
Pembedahan Kanta Refraktif
Rawatan presbiopia ini melibatkan penggantian kanta semula jadi mata yang telah hilang fungsi keanjalannya dengan implan kanta intraokular tiruan moden (intraocular lens, IOL) yang direka khas untuk membolehkan penglihatan pelbagai jarak — jauh, pertengahan dan dekat — tanpa memerlukan kaca mata.
Prosedur ini dilaksanakan sebagai rawatan harian (day-care) di klinik atau hospital, menggunakan teknik phacoemulsifikasi — iaitu kaedah moden di mana kanta asal dikeluarkan melalui bukaan kecil (sekitar 2.2 - 2.4 mm) menggunakan gelombang ultrasound, sebelum kanta baharu dimasukkan secara kekal ke dalam mata.
Prosedur ini tidak menyakitkan, mengambil masa lebih kurang 15–20 minit, dan mempunyai kadar kejayaan yang tinggi, terutamanya apabila dilakukan oleh pakar yang berpengalaman.
Pilihan Kanta Implan
1. Kanta Intraokular Multifokal
Kanta ini sesuai untuk individu yang aktif dan menjalankan pelbagai aktiviti visual pada jarak jauh, pertengahan dan dekat — seperti membaca, menggunakan komputer dan memandu. Ia turut mempunyai fungsi torik untuk membetulkan rabun silau (astigmatisme) dalam prosedur yang sama.
Namun begitu, seperti teknologi optik kompleks lain, sesetengah individu mungkin mengalami kesan sampingan visual seperti lingkaran cahaya (halos) atau silauan waktu malam. Kanta jenis ini juga memerlukan sedikit masa untuk adaptasi neurologi, di mana otak belajar menyesuaikan diri dengan pelbagai titik fokus.
Secara keseluruhan, kanta multifokal memberi julat penglihatan yang luas dengan tahap kepuasan pengguna yang tinggi.
2. Kanta Intraokular EDOF (Extended Depth of Focus)
Bagi individu yang lebih sensitif terhadap silauan malam atau inginkan kualiti visual lebih stabil, kanta EDOF boleh menjadi pilihan alternatif. Ia menawarkan penglihatan yang sangat baik untuk jarak jauh dan pertengahan, menjadikannya sesuai untuk memandu dan bekerja di hadapan skrin.
Namun, penglihatan dekat mungkin tidak setajam kanta multifokal, dan sesetengah pengguna masih memerlukan bantuan optikal tambahan seperti kaca mata membaca, terutamanya untuk teks halus atau dalam pencahayaan rendah.
Seperti multifokal, kanta ini juga boleh digabungkan dengan fungsi torik untuk membetulkan astigmatisme secara serentak.
Pembedahan Laser Refraktif
Monovision Laser / Presbyond / Presbymax
Selain penggantian kanta, presbiopia juga boleh diatasi melalui pembedahan laser refraktif, khususnya bagi individu yang belum mengalami katarak dan ingin mengelakkan prosedur dalam mata.
Kaedah seperti Monovision Laser atau variasinya (PresbyOND, PresbyMAX) menggunakan laser untuk membentuk semula kornea — satu mata difokuskan untuk melihat jauh dan satu lagi untuk dekat.
Otak akan “menggabungkan” dua imej ini untuk menghasilkan penglihatan pelbagai jarak. Rawatan ini sesuai bagi individu berusia lewat 40-an ke atas yang masih aktif secara sosial dan profesional, serta inginkan pilihan tidak invasif dengan pemulihan pantas.
Namun, tidak semua serasi dengan kaedah monovision. Ada yang mengalami ketidakselesaan akibat perbezaan fokus antara mata — yang boleh menyebabkan rasa tidak seimbang, keletihan mata, dan kekaburan ketika melakukan aktiviti tertentu.
Ia juga boleh menjejaskan persepsi kedalaman (depth perception). Tambahan pula, kesan rawatan mungkin berkurangan dari semasa ke semasa kerana presbiopia akan terus berkembang, dan sesetengah pesakit mungkin memerlukan penyesuaian semula.
Kesimpulan: Pilihan Bijak untuk Menikmati Hidup Lebih Bebas
Walaupun rawatan seperti kanta intraokular atau laser refraktif telah terbukti memberikan tahap kepuasan yang tinggi, pesakit perlu memahami bahawa setiap pilihan datang dengan risiko dan batasan tersendiri.
Ini termasuk risiko prosedur phakoemulsification itu sendiri, masalah silauan malam, lingkaran cahaya, kekeringan mata sementara, serta keperluan adaptasi terhadap sistem penglihatan pelbagai jarak. Dalam sesetengah kes yang jarang berlaku, kanta yang dipasang mungkin perlu disesuaikan atau diganti.
Namun begitu, dengan pemilihan pesakit yang tepat, perancangan rapi dan pelaksanaan oleh pakar bedah mata refraktif, hasil rawatan sering kali sangat memuaskan — bukan hanya dari segi ketajaman penglihatan, tetapi juga dari segi kualiti hidup dan kebebasan visual yang diperoleh.
Langkah paling penting adalah mendapatkan konsultasi bersama pakar bedah mata refraktif, bagi membolehkan penilaian menyeluruh dibuat dan pilihan rawatan disesuaikan dengan keperluan sebenar anda. Dengan bimbingan pakar dan kefahaman yang jelas, keputusan yang anda buat boleh menjadi satu langkah besar dalam mengubah cara anda melihat — dan menikmati — kehidupan tanpa batasan kaca mata.
Dr. Mohammad Hudzaifah Nordin
Pensyarah Perubatan, Pakar Oftalmologi & Bedah Mata
Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)
Beliau boleh dihubungi melalui e-mel di