SAUDARA PENGARANG
Dalam dunia digital masa kini, hampir setiap isi rumah mempunyai akses kepada telefon pintar, komputer dan internet. Daripada media sosial hingga permainan dalam talian, teknologi telah menjadi sebahagian besar daripada kehidupan seharian terutama dalam kalangan kanak-kanak dan remaja.
Namun, di sebalik keseronokan itu, muncul cabaran besar yang sering kita pandang ringan: Bagaimana untuk menjadi pengguna media yang bijak dan bertanggungjawab. Di sinilah pentingnya celik media.
Celik media bukan sekadar kemahiran menggunakan teknologi, tetapi kemampuan untuk mengakses, menilai, mentafsir dan menghasilkan mesej media dengan penuh kesedaran. Ia bermakna kita faham “siapa yang menghasilkan mesej ini, tujuan apa dan bagaimana ia mempengaruhi kita”.
Pengguna Aktif vs Pasif
Dalam kajian media, masyarakat sering dibahagikan kepada dua jenis pengguna iaitu aktif dan pasif. Pengguna pasif hanya menerima maklumat tanpa menyoal atau menilai kebenarannya. Mereka mudah terpengaruh dengan berita palsu, mesej viral atau kandungan sensasi di media sosial.
Sebaliknya, pengguna aktif akan berfikir secara kritikal dan menyoal niat di sebalik sesuatu mesej. Pengguna aktif lebih cenderung mengenal pasti berita palsu dan tidak mudah termakan propaganda media. Ini membuktikan bahawa cara kita menggunakan media menentukan kesannya terhadap minda dan emosi kita.
Permainan Dalam Talian dan AI: Daya Tarikan Baharu, Risiko Baharu
Menurut Gao, Y. X., Wang, J. Y., & Dong, G. H. (2022), fenomena permainan dalam talian dan penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) kini menjadi trend utama. Bagi kanak-kanak dan remaja, dunia maya ini bukan sekadar hiburan, tetapi ruang sosial dan emosi mereka.
Namun, tidak semua pengguna mampu mengawal keterlibatan mereka dan di sinilah timbul risiko. Di Malaysia, beberapa insiden tragis telah mengejutkan masyarakat dan menjadi cerminan kepada bahaya penggunaan media tanpa kawalan.
Pada Mei 2024, seorang kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun di Parit Raja, Johor dilaporkan menikam adiknya yang berusia enam tahun selepas berang kerana telefon bimbitnya rosak dan dia kehilangan jutaan “mata” dalam permainan atas talian Roblox.
Menurut laporan polis, kanak-kanak itu mengalami tekanan emosi yang berpunca daripada kehilangan tersebut dan menunjukkan tanda-tanda pengaruh permainan terhadap tingkah lakunya.
Dalam kes berasingan, pada Oktober 2025, seorang pelajar lelaki berusia 14 tahun di Selangor ditahan selepas membunuh rakannya di sekolah menggunakan senjata tajam yang dibeli secara dalam talian. Siasatan awal mendapati suspek terpengaruh dengan kandungan media sosial yang memaparkan aksi ganas dan permainan simulasi pertempuran.
Kedua-dua kes ini mengingatkan kita bahawa media digital termasuk permainan dalam talian bukan sekadar hiburan kosong. Ia mempunyai keupayaan besar mempengaruhi emosi, tingkah laku, dan dalam kes tertentu, boleh membawa kepada tindakan tragis. Inilah kesan apabila pengguna menjadi pasif menerima dan meniru tanpa menilai.
Pendidikan Awal: Kunci Mencegah Pengaruh Negatif
Celik media perlu dimulakan seawal usia sekolah rendah. Kanak-kanak perlu diajar bukan sahaja cara menggunakan media, tetapi juga cara berfikir tentang media. Murid yang diajar konsep celik media menunjukkan peningkatan dalam keupayaan mengenal pasti mesej tersembunyi dalam iklan dan kandungan digital. Pendidikan seperti ini membentuk daya tahan terhadap pengaruh luar dan membantu mereka menjadi pengguna aktif yang berfikir sebelum bertindak.
Pendidikan celik media mesti menjadi sebahagian daripada kurikulum sekolah agar generasi baharu lebih bersedia menghadapi cabaran dunia digital sama ada daripada segi maklumat palsu, penipuan dalam talian mahupun pengaruh permainan digital yang tidak terkawal.
Selain sekolah, peranan ibu bapa juga amat penting. Mengawal masa skrin semata-mata tidak mencukupi; yang lebih penting ialah berbincang dengan anak tentang apa yang mereka tonton atau mainkan. Soalan mudah seperti “Apa mesej yang kamu nampak dalam permainan ini?” atau “Kenapa kamu rasa marah bila kalah?” boleh membuka ruang perbualan dan mengajar anak berfikir secara reflektif.
Celik Media: Tanggungjawab Bersama
Dalam dunia yang semakin dikuasai algoritma dan kecerdasan buatan, celik media bukan lagi kemewahan, tetapi keperluan asas. Seperti yang ditegaskan oleh pakar media Livingstone, S. (2021), “Menjadi celik media bermakna kita memahami bukan sahaja kandungan yang kita lihat, tetapi juga kuasa di sebalik penghasilannya.”
Telefon pintar, permainan atas talian, atau teknologi AI tidak salah; yang penting ialah bagaimana kita menggunakannya. Jika kita bijak, ia boleh membuka ruang ilmu dan peluang baharu. Tetapi jika kita leka, ia boleh memerangkap kita dalam dunia yang melalaikan. Oleh itu, membina masyarakat celik media bukan sekadar soal kemahiran digital, tetapi soal akal, nilai dan tanggungjawab.
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi mana-mana institusi.

Dr. Shazleen Mohamed
Pensyarah Kanan,
Fakulti Komunikasi & Pengajian Media
Universiti Teknologi MARA (UiTM)