fb fb fb fb fb

Berbaktilah sehingga hujung nyawa

Foto hiasan/RTM

SAUDARA PENGARANG

Menjaga ibu bapa yang uzur bukan sekadar tugas fizikal — ia adalah perjalanan jiwa yang menguji sabar, kasih sayang dan ketabahan. Juga bagaimana menerima ikhlas kasih sayang yang Allah berikan melalui nikmat berkhidmat kepada orang tua. Bagi kebanyakan anak yang berkhidmat, pengalaman ini menjadi madrasah kehidupan yang membentuk peribadi dan nilai maknusiawi yang mendalam.

Pengalaman hampir tiga tahun menjaga ibu, hingga nafas terakhir menjadi sebuah anugerah yang penuh pengajaran buat penulis. Menerima kehadiran ibu dalam keadaan terlantar sepenuhnya, tidak mampu duduk, bercakap, apatah lagi mengurus diri. Menginsafi ibu memerlukan penjagaan rapi; dari pemantauan pernafasan hingga ke pengurusan kebersihan dan pemakanan, penulis akur ‘inilah masanya untuk berkhidmat bakti’.

Minggu-minggu awal sering dipenuhi rasa cemas, namun ia menjadi titik mula pembelajaran yang tidak ternilai. Setiap malam, doa dipanjatkan agar dikurniakan kekuatan fizikal dan mental bagi menggalas tanggungjawab.

Dua Jiwa, Satu Tanggungjawab

Cemas namun bersyukur! Penulis melalui fasa berpantang sambil menjaga ibu yang uzur. Dalam keadaan tubuh masih lemah, tetaplah mengangkat, membersihkan dan menyusukan pula amanah kecil; bayi yang perlu pengajaan teliti dan diri sendiri yang perlu rehat dan namun perlu cekal dan cekap. Serentak!

Dua jiwa yang sukar diketepikan – sang ibu yang melahirkan dan si bayi yang baru dilahirkan. Gabungan dua tanggungjawab ini menuntut kekuatan luar biasa, namun tetap dapat dilalui dengan sokongan keluarga dan semangat yang tidak pernah luntur.

Anak-Anak Sebagai Peneman dan Pembantu

Penglibatan anak-anak dalam proses penjagaan bukan sahaja meringankan beban, malah membentuk nilai empati sejak kecil. Mereka belajar membantu, memahami keperluan orang tua dan menjadi pemerhati yang peka. Ini mengukuhkan ikatan kekeluargaan dan proses membina generasi yang lebih penyayang.

Tanpa latar belakang perubatan, tiada yang mustahil apabila akhirnya anak-anak mahir dalam aspek asas kejururawatan seperti mengelakkan luka tekanan, menukar lampin dengan betul, memantau tekanan darah dan memberi susu melalui tiub.

Kemahiran ini bukan sahaja membantu ibu bapa, malah membuka mata terhadap keperluan penjagaan warga emas secara menyeluruh yang perlu diterapkan seawall usia kanak-kanak.

Detik dan Khidmat Terakhir

Kehadiran disisi ibu ketika saat akhir adalah pengalaman yang meninggalkan kesan mendalam. Saat perlu teliti menguruskan ibu sebagai jenazah — memandikan, membersihkan dan menyiapkan pakaian terakhirnya untuk pengebumian. Walaupun suasananya hening, yang hadir hanyalah rasa syukur kerana dapat memberikan khidmat terakhir.

Sebenarnya, tidak ada penyesalan apabila mengenang kembali perjalanan menjaga ibu. Walaupun mencabar, ia mengandungi nilai yang sukar diganti; tanggungjawab, ketabahan dan penghormatan terhadap seorang insan yang melahirkan dan membesarkan. Syukur dan insaf kerana Allah memberikan nikmat yang tidak semua orang anak dapat merasainya.

Hikmah di Sebalik Pengalaman

Menjaga ibu bapa yang uzur sebenarnya mengajar diri tentang amanah yang tidak boleh dipandang ringan. Ketahanan fizikal dan emosi yang berterusan perlu menjadi keutmaan.

Sokongan suami dan anak-anak dalam tempoh penjagaan memerlukan komunikasi yang telus. Dan yang paling utama membesarkan sabar, reda yang jitu dan kasih sayang yang mendalam. Walaupun mencabar, pengalaman ini membentuk seluruh ahli keluaarga menjadi insan yang lebih matang, penyayang dan berjiwa besar.

Bukan Menanggung Beban

Menginsafi perjalanan mengurus ibu uzur hingga hujung nyawa, penulis memandang tinggi anak-anak yang sedang menggalas tanggungjawab menjaga ibu bapa. Dedikasi buat anda yang sedang menjalankan amanah yang mulia, usaha yang besar walaupun tidak dilihat, tetapi dipandang tinggi disisi Allah SWT.

Usah melakukannya sendiri walaupun mampu, namun satukan emosi melalui sistem sokongan keluarga yang utuh. Yakinlah reda kepada Allah menjadikan perjalanan seumpama ini lebih teratur dan bermakna.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

NORASHIKIN AZMI
Norashikin Azmi
Pegawai Tadbir
Universiti Islam Selangor

MAT YUNUS BIN SABRI