
MIRI, 8 Januari – Seorang wanita kerugian RM270,800 selepas menjadi mangsa penipuan cinta dalam talian atau ‘love scam’.
- Wanita berusia 40-an kerugian RM270,800 akibat penipuan cinta dalam talian yang bermula Oktober 2025.
- Pemerasan menerusi panggilan 'pegawai kastam' menyebabkan mangsa membuat 37 pindahan wang ke akaun berbeza.
- Polis siasat di bawah Seksyen 420; orang ramai dinasihatkan semak Scammers CCID dan elak berkongsi maklumat peribadi.
Ketua Polis Daerah, ACP Mohd Farhan Lee Abdullah berkata pihaknya menerima laporan semalam setelah wanita berusia 40-an itu menyedari ditipu dalam kejadian bermula sekitar Oktober 2025.
Mangsa berkenalan dengan seorang lelaki yang mendakwa warga United Kingdom melalui Facebook menggunakan nama “Kenneth Liu Zhang”.
“Mangsa kemudian menjalin hubungan melalui platform WhatsApp dan suspek mendakwa akan datang ke Malaysia untuk bertemu pada 22 Disember 2025,” katanya dalam kenyataan.
“Mangsa menerima panggilan daripada individu yang memperkenalkan diri sebagai pegawai kastam yang memaklumkan bahawa suspek telah ditahan pada 22 Disember dan meminta mangsa membayar kompaun untuk membebaskannya.
“Atas arahan itu, mangsa membuat 37 transaksi pindahan wang ke beberapa akaun bank berbeza sehingga menyedari dirinya ditipu apabila bayaran tambahan terus diminta atas pelbagai alasan tidak munasabah,” jelasnya.
Siasatan kini dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Polis menasihatkan orang ramai supaya tidak mendedahkan maklumat peribadi atau membuat sebarang pindahan wang kepada individu yang tidak dikenali.
Beliau turut menyarankan semakan dibuat melalui Scammers CCID atau laman web : http://semakmule.rmp.gov.my untuk mengelak akaun keldai dan penipuan kewangan.
Orang ramai boleh mendapatkan maklumat terkini modus operandi penipuan melalui laman Facebook Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK), Cyber Crime Alert Royal Malaysia Police serta JSJK Sarawak.
Sebarang nasihat atau maklumat lanjut boleh dihubungi melalui talian Commercial Crime Investigation Department (CCID) Infoline 013-2111222 (WhatsApp/SMS).