
KUALA LUMPUR, 13 Februari – Seorang wanita warganegara Indonesia beusia 53 tahun, Siti Nur Asyiah, dijatuhi hukuman penjara tiga tahun setelah disabitkan bersalah melakukan penyeludupan lima orang migran warganegara Indonesia.
- Wanita Indonesia, Siti Nur Asyiah, dijatuhi tiga tahun penjara atas penyeludupan lima migran.
- Mahkamah memerintahkan pelucuthakan wang rampasan RM7,100 kepada Kerajaan Malaysia.
- Tangkapan dibuat hasil Operasi SOM di parkir Nuri Court, Pandan Indah pada 19 Mac tahun lalu.
- Imigresen akan terus pergiatkan penguatkuasaan dan menggesa orang ramai melaporkan aktiviti mencurigakan.
Selain hukuman pemenjaraan yang berkuat kuasa dari tarikh tangkapan, mahkamah turut memerintahkan pelucuthakan wang rampasan RM7,100.00 kepada Kerajaan Malaysia.
Keputusan tersebut telah disampaikan pada 11 Februari lalu setelah pihak mahkamah mendapati tertuduh bersalah atas pertuduhan yang dikemukakan.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Imigresen Malaysia, Datuk Lokman Effendi Ramli dalam satu kenyataan turut memaklumkan tangkapan tertuduh dibuat hasil Operasi SOM yang dijalankan oleh Bahagian Pencegahan ATIPSOM dan AMLA, Ibu Pejabat Imigresen Malaysia, Putrajaya pada 19 Mac tahun lalu.
Jelasnya, operasi tersebut dilaksanakan di kawasan parkir kenderaan Nuri Court, Pandan Indah, Ampang, Selangor.
“Hasil pemeriksaan ke atas sebuah kenderaan yang digunakan sebagai pengangkutan penyeludupan telah membawa kepada penemuan lima orang migran di dalam kenderaan berkenaan,” menurutnya dalam kenyataan tersebut.
Justeru, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) akan terus mempergiatkan operasi penguatkuasaan secara bersepadu serta tindakan undang-undang tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana individu, sindiket atau pihak yang terlibat dalam aktiviti yang menyalahi undang-undang imigresen negara.
“Orang ramai turut dinasihatkan sentiasa berwaspada serta menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti mencurigakan melalui saluran aduan rasmi JIM. Kerjasama ini penting bagi memastikan keselamatan, kedaulatan dan kesejahteraan negara sentiasa terpelihara,” katanya lagi.