
JOHOR BAHRU, 30 Januari – Polis membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan berhubung satu video tular yang memaparkan seorang pelajar sekolah lelaki berusia 17 tahun dipukul di hadapan sebuah sekolah di Larkin, di sini, pada petang semalam.
- Polis buka kertas siasatan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan berhubung video tular pelajar dipukul.
- Dua individu dikenal pasti: mangsa lelaki 17 tahun dan abang kandungnya 20 tahun.
- Insiden dipercayai berkaitan laporan gangguan seksual ke atas pelajar perempuan 13 tahun, disiasat di bawah Seksyen 509.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, ACP Raub Selamat berkata, dua individu dikenal pasti terlibat dalam kejadian itu, masing-masing pelajar sekolah berusia 17 tahun serta abang kandungnya yang berumur 20 tahun.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati kejadian berkenaan dipercayai berlaku susulan satu kes gangguan seksual melibatkan seorang pelajar perempuan berusia 13 tahun dari sekolah sama, yang dilaporkan berlaku pada Rabu.
Katanya, laporan polis berkaitan kes gangguan tersebut dibuat oleh pelajar perempuan berkenaan pada pukul 5.43 petang semalam.
Kes gangguan itu disiasat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan.