Tujuh bot nelayan, 14 kru warga asing ditahan dalam Op Mardof

Pengarah Perikanan Negeri Selangor, Noraisyah Abu Bakar

SHAH ALAM, 13 Februari – Seramai 14 kru warga asing ditahan dalam Op Mardof Siri 2 yang dilaksanakan menerusi kerjasama strategik antara Jabatan Perikanan Malaysia Negeri Selangor dengan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).

RINGKASAN BERITA AI
  • Tujuh vesel nelayan ditahan selepas pemeriksaan; enam melanggar syarat lesen, satu sampan tidak berlesen.
  • 14 kru warga asing (lima Indonesia, sembilan Myanmar) tidak dapat tunjukkan dokumen pengenalan diri sah.
  • Kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63.
  • Penekanan kepada pematuhan spesifikasi peralatan, termasuk mata pukat tunda lebih 38 mm bagi kelestarian sumber perikanan.

Pengarah Perikanan Negeri Selangor, Noraisyah Abu Bakar memaklumkan operasi yang dilaksanakan dari 6 hingga 13 Februari itu melibatkan 65 pemeriksaan ke atas vesel nelayan di laut serta darat.

“Dan hasilnya adalah tujuh vesel telah pun kita tahan yang mana ada enam daripadanya didapati melanggar syarat-syarat lesen dan salah satu daripada tujuh itu adalah sampan yang tidak berlesen,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Menurut beliau, kesalahan dikesan termasuk melanggar syarat lesen, menjalankan aktiviti penangkapan ikan tanpa lesen sah serta menggajikan kru asing tanpa kebenaran.

Kesemua kru asing berusia antara 24 hingga 51 tahun itu gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah, membabitkan lima warga Indonesia dan sembilan warga Myanmar.

Siasatan dijalankan di bawah Akta Perikanan 1985, manakala kes melibatkan kru asing turut disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63.

Beliau turut menegaskan kepentingan pematuhan terhadap spesifikasi peralatan menangkap ikan, termasuk penggunaan mata pukat tunda melebihi 38 milimeter bagi mengelakkan benih ikan turut ditangkap sekali gus menjejaskan kelestarian sumber perikanan.

Mengenai sebuah bot nelayan tempatan yang ditahan pihak berkuasa Indonesia di kawasan pertindihan sempadan, Noraisyah berkata nelayan tersebut berjaya dibebaskan selepas rundingan dilakukan dan telah dibawa masuk semula ke perairan negara.