
KUALA LUMPUR, 16 Januari – Mahkamah Sesyen di sini hari ini melepaskan dan membebaskan bekas Ahli Parlimen Kinabatangan Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin daripada tiga pertuduhan rasuah berjumlah RM2.8 juta membabitkan pelaburan RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual Berhad.
- Bung Moktar dilepas dan dibebaskan daripada tiga pertuduhan rasuah selepas pihak pendakwaan memutuskan tidak meneruskan kesnya.
- Mahkamah memerintahkan pengembalian wang jaminan RM100,000 dan pasport kepada penjamin selepas pembebasan.
- Kes bersubahat terhadap isteri Allahyarham, Zizie Izette, akan diteruskan selepas AGC menolak representasinya.
Hakim Rosli Ahmad memutuskan demikian selepas Timbalan Pendakwa Raya Law Chin How memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihak pendakwaan tidak berhasrat untuk meneruskan pendakwaan terhadap Bung Moktar, 66, yang telah meninggal dunia pada 5 Dis 2025.
“Menurut Seksyen 254 Kanun Prosedur Jenayah, pihak pendakwaan telah memutuskan untuk tidak meneruskan kes terhadap tertuduh pertama (Bung Moktar).
“Mahkamah membuat keputusan untuk memberikan perintah tertuduh pertama dilepas dan dibebaskan daripada semua pertuduhan serta wang jaminan (RM100,000) dan pasport dikembalikan kepada penjamin,” kata Rosli semasa sebutan kes itu hari ini.
Terdahulu, Law memaklumkan tiga kes bersubahat dihadapi isteri Allahyarham Bung Moktar, Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad akan diteruskan selepas Jabatan Peguam Negara (AGC) menolak representasinya untuk mengugurkan pertuduhan berkenaan.
Berita penuh menyusul