
KUALA LUMPUR, 6 Februari – Polis berjaya menumpaskan tiga sindiket pengedaran dadah dalam tiga serbuan di sekitar Lembah Klang yang membabitkan rampasan bernilai RM208.25 juta.
- Polis tumpaskan tiga sindiket edar dadah di Lembah Klang menerusi tiga siri serbuan.
- Rampasan utama: MDMA, erimin 5, ekstasi, ketamin dan methamphetamine bernilai RM180 juta.
- Rampasan bunga ganja 188kg (nilai kira-kira RM15 juta) dan 60 bungkusan dikesan di KLIA.
- Sembilan ditahan reman, tiga didakwa; sindiket guna kereta sewa dan keldai untuk seludup dan edar.
Menerusi tiga siri serbuan bermula 30 Januari hingga Khamis lalu, polis menahan 13 individu termasuk warga asing yang dipercayai menjadi dalang utama, keldai dadah serta penghantar bagi sindiket berkenaan.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan rampasan terbesar dilakukan dalam ‘Op Apiocera’ ke atas sebuah rumah teres di Kepong, serta satu unit kondominium di Subang Jaya, Selangor pada 31 Januari hingga 2 Februari lalu membabitkan rampasan dadah bernilai RM180 juta.
“Polis menahan seorang lelaki tempatan serta seorang wanita warga asing, selain menemui 30 bungkusan plastik dan 20 guni berisi serbuk MDMA seberat 8.43.8 kilogram (kg), pil erimin 5 (325.2 kg), pil ekstasi (104.3 kg), ketamin (97.7 kg) dan methamphetamine (9.5 kg).
“Dalam serbuan kedua, polis menahan seorang wanita tempatan. Semua yang ditahan berusia antara 38 hingga 58 tahun. Siasatan mendapati sindiket itu diketuai oleh suspek lelaki tempatan yang mengatur pengedaran dadah di dalam dan luar negara dengan dibantu kedua-dua suspek wanita yang berperanan sebagai ahli sindiket.
“Selain itu, tiga kenderaan disita dengan nilai sitaan berjumlah RM118,800,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur yang turut dihadiri Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus.
Sementara itu, dalam operasi berasingan menerusi Op Diogma pada 2 dan 3 Februari lepas, polis melumpuhkan sindiket penyeludupan bunga ganja ke luar negara selepas dua warga Singapura yang diupah sebagai keldai dadah ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
“Hasil pemeriksaan, kita merampas 60 bungkusan plastik disyaki berisi bunga ganja seberat 33kg dalam beberapa bagasi dibawa. Siasatan mendapati kedua-dua warga asing itu menerima upah RM10,000 seorang untuk menyeludup bunga ganja itu ke United Kingdom (UK) bersama pakej percutian serta tiket penerbangan.
“Operasi susulan turut dijalankan di sebuah rumah di Cheras dan kita merampas 254kg lagi bunga ganja seberat 133kg sebelum serbuan ketiga di sebuah hotel di Taman Equine, Serdang.
“Dalam serbuan ketiga itu, kita tahan dua lelaki tempatan bersama bunga ganja seberat 22kg. Seterusnya, serbuan dijalankan di Bayan Lepas, Pulau Pinang dan menahan seorang wanita yang juga teman wanita suspek keempat, yang turut disyaki sebagai ahli sindiket.
“Jumlah keseluruhan rampasan bunga ganja adalah 188kg dengan nilai rampasan dianggarkan RM15juta,” katanya lagi.
Pada 30 Januari lalu, polis turut melancarkan Op Allograpta dan berjaya memintas penghantaran dadah jenis syabu seberat 265 kg bernilai RM13.25 juta yang diseludup masuk dari negara jiran melalui sebuah negeri di Pantai Timur.
“Tiga lelaki tempatan berusia lingkungan 40 hingga 48 tahun ditahan dalam serbuan di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Genting Sempah, Pahang dan di kawasan parkir sekitar Kuchai Lama, Kuala Lumpur.
“Modus operandi sindiket ini adalah menggunakan kereta sewa untuk membawa dadah dari Kelantan ke Lembah Klang. Kenderaan diisi dadah itu kemudiannya ditinggalkan di kawasan parkir tertentu sebelum diambil oleh ahli sindiket lain tanpa perlu bersua muka,” katanya.
Sindiket itu dikesan mulai aktif sejak 2024 dan salah seorang suspek ditahan adalah ketua sindiket, manakala dua lagi suspek berperanan sebagai ‘transporter’ (penghantar).
Kesemua sembilan suspek kini ditahan reman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 manakala tiga suspek bagi kes Op Allograpta sudah dituduh di mahkamah hari ini mengikut seksyen sama.