Tiga lelaki ahli Geng Captain Praba didakwa hari ini

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayaah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M. Kumar/ BERNAMA

KUALA LUMPUR 28 Januari – Polis Diraja Malaysia mengesahkan penahanan tiga lelaki yang dipercayai terlibat dalam kumpulan jenayah terancang dikenali sebagai Geng Captain Praba.

RINGKASAN BERITA AI
  • Tiga lelaki ditahan disyaki ahli Geng Captain Praba dalam Operasi Jack Sparrow oleh JSJ Bukit Aman.
  • Penahanan berdasarkan waran tangkap Mahkamah Sesyen Sepang dikeluarkan pada 14 Januari.
  • Mereka disiasat di bawah Seksyen 130V Kanun Keseksaan, hukuman penjara lima hingga 20 tahun.
  • Kerjasama pihak berkuasa Mumbai membantu penahanan; pertuduhan dijangka dibuat di Mahkamah Sesyen Sepang hari ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M. Kumar berkata, ketiga-tiga suspek yang dikehendaki polis berjaya ditangkap dalam satu operasi khas dikenali sebagai Operasi Jack Sparrow yang dijalankan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman.

“Kesemua suspek kini ditahan untuk siasatan lanjut kerana disyaki menjadi ahli kumpulan jenayah terancang dan disiasat di bawah Seksyen 130V Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan tidak melebihi 20 tahun.

“Tangkapan dibuat berdasarkan waran tangkap yang dikeluarkan oleh Mahkamah Sesyen Sepang pada 14 Januari lalu, sebelum kesemua suspek dibawa pulang ke Malaysia,” kata beliau dalam satu kenyataan, hari ini.

Tambahnya, penahanan ketiga-tiga suspek berjaya dilaksanakan dengan kerjasama serta bantuan pihak berkuasa tempatan di Mumbai, India.

Pertuduhan terhadap kesemua suspek dijangka dibuat hari ini di Mahkamah Sesyen Sepang.

PDRM turut merakamkan penghargaan kepada pihak berkuasa India atas kerjasama erat yang diberikan, serta menegaskan komitmen berterusan polis dalam menegakkan kedaulatan undang-undang demi memastikan keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat terus terpelihara.

Makan Sihat, Hidup Sihat: Bagaimana Ajinomoto (Malaysia) Berhad Membentuk Gaya Hidup Lebih Sihat di Malaysia

Artikel Tajaan