Tidak penuhi syarat: 6 warga Bangladesh dihalang masuk Malaysia

BUKIT KAYU HITAM, 26 Oktober – Enam warga Bangladesh masing-masing empat lelaki dan dua wanita ditolak daripada memasuki Malaysia selepas disyaki bukan pelancong tulen.

RINGKASAN BERITA AI
  • Enam warga Bangladesh — empat lelaki, dua wanita — ditolak masuk Malaysia kerana disyaki bukan pelancong tulen.
  • Penolakan dilakukan di ICQS Bukit Kayu Hitam melalui pemeriksaan imigresen dan kawalan sempadan.
  • Mereka diarahkan berpatah balik ke negara asal melalui laluan masuk yang sama.
  • AKPS menegaskan komitmen memastikan pintu masuk negara terkawal dan tidak disalahgunakan untuk tujuan haram.

Komander Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) Bukit Kayu Hitam, SAC Mohd Nasaruddin M. Nasir dalam kenyataan memaklumkan penolakan itu dilaksana melalui jalan darat di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) di sini, semalam.

“Hasil pemeriksaan mendapati kesemua individu tersebut tidak memenuhi syarat kemasukan yang ditetapkan dan disyaki bukan pelancong tulen.

“Kesemua mereka tidak dibenarkan memasuki negara ini dan diarahkan berpatah balik ke negara asal melalui laluan masuk yang sama,” jelasnya.

Beliau tegaskan agensi itu sentiasa komited dalam memastikan pintu masuk negara berada dalam kawalan terbaik serta tidak disalahgunakan oleh mana-mana pihak bagi tujuan yang menyalahi undang-undang.