Suri rumah rugi RM50,000 ditipu pelaburan tidak wujud

Gambar hiasan

KUALA TERENGGANU, 21 Januari – Seorang suri rumah kerugian RM50,342 selepas diperdaya sindiket skim pelaburan tidak wujud yang diiklankan menerusi media sosial.

RINGKASAN BERITA AI
  • Suri rumah ditipu skim pelaburan palsu diiklankan menerusi TikTok, menjanjikan pulangan cepat dan tinggi.
  • Mangsa ditawarkan pakej serendah RM350 dan diperdaya membuat beberapa bayaran modal.
  • Untuk keluarkan keuntungan, mangsa diminta bayaran tambahan kononnya kos pengurusan.
  • Mangsa kehilangan RM50,342 dan membuat laporan polis; kes disiasat mengikut Seksyen 420.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu ACP Azli Mohd Noor berkata mangsa berusia 57 tahun itu tertarik dengan iklan pelaburan berkonsepkan pulangan lumayan dalam tempoh singkat yang dilihat di aplikasi TikTok pada 13 Jan lepas.

Beliau berkata mangsa kemudian menghubungi suspek dan ditawarkan pakej pelaburan serendah RM350 dengan janji keuntungan sehingga RM9,000 dalam masa hanya tiga jam.

“Mangsa yang terpengaruh membuat beberapa bayaran modal dan dimaklumkan bahawa keuntungan telah diperoleh.

“Bagaimanapun, untuk mengeluarkan keuntungan tersebut, mangsa diminta membuat bayaran tambahan kononnya bagi menampung kos pengurusan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Azli berkata mangsa yang terdesak menggunakan wang simpanannya untuk membuat enam transaksi pembayaran kepada suspek dalam tempoh 14 Jan hingga semalam.

Menurutnya, mangsa tampil membuat laporan polis pada 6.14 petang semalam selepas gagal menghubungi suspek dan mendapatkan semula wang yang dibayar.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. – BERNAMA