SPRM buka tiga kertas siasatan libatkan IJM, transaksi RM2.5 Bilion

Sidang media perkembangan siasatan kes SPRM / FOTO BERNAMA

PUTRAJAYA, 4 Mac – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuka tiga kertas siasatan berhubung beberapa isu melibatkan IJM Corporation Bhd, termasuk transaksi kewangan dan pelaburan luar negara bernilai kira-kira RM2.5 bilion.

RINGKASAN BERITA AI
  • SPRM buka tiga kertas siasatan berkaitan isu tadbir urus, perolehan dan transaksi kewangan IJM bernilai kira-kira RM2.5 bilion.
  • Siasatan melibatkan kerjasama dengan Pejabat Penipuan Serius United Kingdom bagi perkongsian maklumat.
  • Seorang eksekutif kanan ditahan; 70 akaun peribadi dan syarikat dibekukan melibatkan kira-kira RM30.6 juta.

Menurut Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, siasatan dijalankan secara menyeluruh dan turut melibatkan kerjasama dengan Pejabat Penipuan Serius (SFO) United Kingdom dalam aspek perkongsian maklumat.

“Perlu diingat, pemegang saham IJM terdiri daripada syarikat milik kerajaan atau GLC. Jadi kita mahu melihat sama ada terdapat sebarang unsur jenayah, ketirisan atau pelanggaran tadbir urus,” katanya dalam sidang media perkembangan siasatan kes SPRM di sini hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan seorang eksekutif pengurusan tertinggi IJM Corporation Bhd berusia 70-an ditahan untuk membantu siasatan SPRM berhubung isu tadbir urus korporat, proses perolehan, transaksi kewangan dan pemilikan aset di luar negara dianggarkan bernilai kira-kira RM2.5 bilion.

Pada 19 Januari lepas, Bahagian Operasi Khas menjalankan siasatan terhadap suspek, dan seterusnya membekukan 70 akaun bank persendirian serta akaun syarikat berkaitan membabitkan jumlah kira-kira RM30.6 juta.