Sindiket penipuan kouta pekerja asing dikenali sebagai ‘Badul’ tumpas

Sindiket ‘Badul’ ditumpaskan, sembilan individu ditahan / Foto IMIGRESEN

KUALA LUMPUR, 5 Februari – Satu sindiket yang aktif menjalankan kegiatan membekalkan pekerja asing yang terlibat dalam penipuan kuota pekerja asing, dikenali sebagai “Badul”, ditumpaskan oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menerusi Ops Serkap di sebuah premis Jalan Desa Pandan, di sini, semalam.

RINGKASAN BERITA AI
  • Jabatan Imigresen tumpaskan sindiket "Badul" yang jual dan alihkan kuota pekerja asing tanpa kebenaran.
  • Sembilan suspek ditahan; banyak pasport, i-Kad, kad CIDB dan wang tunai disita sebagai bukti.
  • Sindiket komersialkan tenaga kerja asing, termasuk pemalsuan surat dan pengurusan pembebasan terhadap bayaran.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata operasi yang dilakukan Bahagian Penguatkuasaan itu hasil maklumat risikan sebelum pasukan operasi menyerbu premis berkanaan di tingkat dua sebuah kedai tersebut.

Seramai sembilan individu berusia antara 26 hingga 61 tahun ditahan, terdiri daripada lapan lelaki warga Bangladesh dan seorang wanita warga Indonesia.

Manakala dua saman saksi dikeluarkan kepada warga tempatan yang bekerja di syarikat terbabit bagi membantu siasatan.

“Siasatan awal mendapati syarikat terbabit menyalahgunakan kelulusan kuota pekerja asing yang diberikan khusus untuk kegunaan sendiri dengan menjual, memindahkan serta mengagihkan tenaga kerja asing kepada pihak ketiga tanpa kelulusan pihak berkuasa.

“Setiap urusan dikenakan bayaran antara RM3,000 hingga RM8,000 bagi setiap permohonan, sekali gus memperlihatkan unsur komersialisasi dan pemerdagangan tenaga kerja asing secara terancang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata berdasarkan maklumat diperoleh, syarikat terbabit dipercayai mengaut keuntungan hampir RM1 juta setahun.

Modus operandi sindiket turut melibatkan penyediaan surat cuti palsu kepada pekerja asing sebagai helah sekiranya ditahan dalam operasi penguatkuasaan, selain menguruskan pembebasan pekerja asing yang ditahan dengan bayaran tertentu, seolah-olah undang-undang boleh dirunding dan dibeli.

Sindiket ini turut bertindak sebagai orang tengah dalam urusan pembaharuan pas kerja dan visa tanpa kebenaran pihak berkuasa.

Beliau berkata siasatan lanjut mendapati sindiket ini aktif membekalkan pekerja asing tanpa kebenaran di seluruh Semenanjung Malaysia, sekali gus mencerminkan penyalahgunaan sistem imigresen negara yang mengancam keselamatan dan kedaulatan negara.

Hasil penggeledahan menemukan 22 pasport Indonesia, 20 pasport Bangladesh, lima pasport Pakistan dan satu pasport India.

Turut disita 497 keping i-Kad, 38 keping kad CIDB, wang tunai kira-kira RM13,000 serta pelbagai dokumen dan peralatan berkaitan.

Kesemua warga asing yang ditahan ditempatkan di Depot Imigresen Putrajaya untuk siasatan lanjut di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

JIM menegaskan tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana pihak yang melindungi, menggaji atau bersubahat dengan warga asing tanpa dokumen sah, selaras komitmen jabatan itu dalam memastikan keselamatan dan kedaulatan negara terus terpelihara.

Majlis Konvokesyen INFRA rai, tauliah 179 graduan

Artikel Tajaan

TEMAN TEKUN Sabah salur RM25.17 juta sepanjang 2025, perkasa usahawan tempatan

Artikel Tajaan