
KUALA LUMPUR, 31 Januari – 5,000 kad SIM dan 50 peralatan SIM Box dirampas dalam operasi bersepadu yang dilaksana Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Kajang.
- Operasi bersepadu MCMC dan PDRM membongkar sindiket penyalahgunaan SIM Box di Kajang.
- 5,000 kad SIM dan 50 peralatan SIM Box dirampas bagi membanteras penipuan dalam talian.
- Penyalahgunaan SIM secara pukal ancam integriti rangkaian komunikasi dan keselamatan digital pengguna.
- Tindakan undang-undang diambil di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998; denda dan penjara berkuat kuasa.
MCMC dalam kenyataan memaklumkan, operasi bersepadu berkenaan menyasarkan sindiket yang menyalahgunakan SIM Box serta kad SIM secara pukal, termasuk kad SIM asing, bagi menjalankan penipuan dan jenayah dalam talian secara berskala besar.
“Peralatan SIM Box serta penggunaan kad SIM secara pukal, termasuk kad SIM asing, sering disalahgunakan bagi penciptaan akaun palsu dalam talian secara besar-besaran, memintas kawalan keselamatan platform digital, serta memudahkan kegiatan seperti penipuan dalam talian dan jenayah dalam talian yang lain. Penyalahgunaan ini memberi ancaman kepada integriti rangkaian komunikasi negara serta keselamatan pengguna,” menurut kenyataan itu.
MCMC memaklumkan, penyalahgunaan SIM Box dan kad SIM secara pukal merupakan ancaman serius terhadap integriti rangkaian komunikasi negara serta keselamatan digital pengguna.
Siasatan dijalankan bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Peraturan-Peraturan Komunikasi dan Multimedia (Standard Teknik) 2000.
Jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda sehingga RM100,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali, mengikut Seksyen 239 Akta 588.
Sehubungan itu, MCMC menggesa penyedia perkhidmatan telekomunikasi memperketatkan kawalan pendaftaran kad SIM bagi menjamin keselamatan digital negara.
MCMC, PDRM dan agensi penguatkuasaan lain akan bekerjasama bagi mencegah penyalahgunaan perkhidmatan telekomunikasi serta memastikan pematuhan undang-undang dan peraturan yang berkuat kuasa.