Sindiket judi dalam talian tumpas, 388 ditahan

Foto hiasan

KUALA LUMPUR, 12 Februari – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menumpaskan kegiatan perjudian dalam talian dengan menahan seramai 388 individu menerusi serbuan Op Angsa di sekitar Lembah Klang dan Pulau Pinang.

RINGKASAN BERITA AI
  • Op Angsa tumpaskan sindiket perjudian dalam talian dengan 388 individu ditahan dalam serbuan di Lembah Klang dan Pulau Pinang.
  • Serbuan serentak ke atas 17 premis melibatkan 372 pegawai termasuk Bahagian Antimaksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7).
  • Rampasan merangkumi perkakasan pembangunan platform perjudian, dua kereta mewah dan jam tangan mewah.
  • Kes disiasat mengikut Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953 dan Seksyen 120B Kanun Keseksaan; siasatan lanjut mensasarkan pemegang jawatan organisasi.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M Kumar dalam kenyataan memaklumkan, operasi dilaksanakan secara serentak ke atas 17 premis perniagaan dan kediaman pada pukul 2.30 petang semalam.

Sasaran operasi adalah individu dan syarikat yang dipercayai terbabit dalam pembangunan sistem sokongan operasi, platform dan promosi perjudian dalam talian untuk pasaran tempatan dan luar negara.

“Serbuan dilaksanakan dengan kekuatan 372 orang terdiri dari 104 pegawai kanan polis dan 268 pegawai rendah polis membabitkan pelbagai elemen di dalam JSJ yang diterajui Bahagian Antimaksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Bukit Aman.

“Operasi ini telah berjaya menangkap seramai 388 orang iaitu 236 lelaki dan 152 wanita berumur lingkungan 20 hingga 48 tahun.

“Daripada jumlah tersebut, lapan orang adalah warga asing iaitu seorang Vietnam, seorang Singapura, dua Thailand dan empat Indonesia berdasarkan semakan awal dokumen pengenalan diri yang dirampas,” menurut kenyataan itu hari ini.

PDRM turut merampas pelbagai perkakasan dan peralatan yang disyaki digunakan dalam membangunkan platform perjudian dalam talian. Selain itu turut dirampas dua kenderaan mewah jenis Lamborghini dan BMW serta beberapa utas jam tangan mewah pelbagai jenama.

“Semua tangkapan dibenarkan reman di antara satu hingga tiga hari bagi membantu siasatan. Tujuh kertas siasatan dibuka iaitu satu di Kuala Lumpur, dua di Selangor dan empat di Pulau Pinang,” tambah kenyataan itu.

Kes disiasat mengikut Seksyen 4B(a)/ 4B(b), 4(1)(g) Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953 dan Seksyen 120B Kanun Keseksaan.

“Siasatan akan diteruskan termasuk menjurus kepada tanggungan pemegang jawatan dalam pertubuhan atau syarikat selaras peruntukan Seksyen 20A Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953,” katanya.