Rumah berkembar dua tingkat musnah terbakar

Rumah berkembar dua tingkat musnah terbakar 80 peratus di Ulu Melaka, Langkawi/Foto Bomba Langkawi

LANGKAWI, 2 Mac – Sebuah rumah berkembar dua tingkat musnah dalam kebakaran di No. 109, Kampung Kumpulan A, Ulu Melaka di sini, lewat malam tadi, namun tiada mangsa dilaporkan terlibat.

RINGKASAN BERITA AI
  • Anggota bomba tiba cepat dan menggunakan dua aliran air 300 kaki serta empat pancutan dari tangki dan water tanker.
  • Satu unit musnah sekitar 80 persen manakala unit bersebelahan terjejas kira-kira 40 persen.
  • 29 anggota dan lima jentera termasuk EMRS, CFRT dan RRV terlibat; punca serta kerugian dalam siasatan.

Ketua Zon 4 Langkawi, Pegawai Bomba Mohd Zamri Abdul Ghani berkata Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah menerima panggilan kecemasan melalui talian NG999 pada pukul 11.57 malam sebelum menggerakkan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Langkawi dengan bantuan Balai Bomba dan Penyelamat Padang Mat Sirat ke lokasi kejadian.

Beliau berkata jentera pertama tiba kira-kira pukul 12.13 tengah malam dan mendapati kebakaran melibatkan rumah berkembar kelas B dua tingkat.

“Sebuah unit musnah dianggarkan 80 peratus manakala unit bersebelahan terjejas kira-kira 40 peratus.

“Operasi pemadaman dijalankan menggunakan dua aliran sepanjang 300 kaki dengan empat pancutan air daripada tangki jentera serta bantuan water tanker. Kebakaran berjaya dikawal pada pukul 12.22 tengah malam dan kerja-kerja overhaul sedang dijalankan bagi memastikan tiada lagi punca api atau sumber nyalaan di lokasi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Seramai 29 anggota bersama lima jentera termasuk B1-162, EMRS, water tanker, CFRT dan RRV terlibat dalam operasi itu, dengan bantuan pihak polis dan Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan pihak bomba.