Rangka enam individu ditemui di rumah terbakar, empat ditahan

Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad/Foto RTM

JOHOR BAHRU, 3 Februari – Enam rangka manusia termasuk lima sekeluarga dipercayai mangsa pembunuhan ditemukan di sebuah rumah terbakar di kawasan kebun kelapa sawit di Kangkar Pulai, Skudai, bulan lepas.

RINGKASAN BERITA AI
  • Bedah siasat forensik sahkan enam mangsa, termasuk lima ahli keluarga, dengan umur dan jantina dikenal pasti.
  • Empat suspek tempatan, tiga lelaki satu wanita, ditahan pada 21 Januari untuk membantu siasatan.
  • Tiga suspek positif methamphetamine dan semua suspek ada rekod jenayah lampau.
  • Kes disiasat bawah Seksyen 302; dua suspek akan didakwa, dua lagi dibebaskan dengan jaminan sebagai saksi.

Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, suami kepada salah seorang mangsa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri pada 9 Januari lalu selepas menemui rangka manusia ketika mencari isteri dan anak-anaknya yang dilaporkan hilang.

“Hasil bedah siasat pasukan forensik mengesahkan enam mangsa terdiri daripada seorang wanita dewasa berusia 35 tahun, seorang remaja perempuan 19 tahun, dua kanak-kanak perempuan sembilan dan lima tahun, seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun serta seorang lelaki dewasa berusia 29 tahun,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor hari ini.

Menurut beliau, susulan siasatan dan risikan lanjut, polis menahan empat suspek warga tempatan terdiri daripada tiga lelaki dan seorang wanita berusia antara 19 hingga 35 tahun di sekitar Iskandar Puteri pada 21 Januari lalu bagi membantu siasatan.

“Hasil semakan mendapati kesemua suspek mempunyai rekod jenayah lampau dan ujian saringan awal air kencing mendapati tiga daripada mereka positif dadah jenis methamphetamine,” katanya.

Beliau berkata, siasatan mendapati suspek merupakan rakan sesama penagih dadah dan tidak mempunyai hubungan kekeluargaan, namun yang menjadi mangsa adalah kanak-kanak yang merupakan anak kepada si mati.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak melebihi 40 tahun serta sebatan tidak kurang 12 kali.

Datuk Ab Rahaman berkata siasatan telah dirujuk kepada Pejabat Peguam Negara Johor, dengan dua suspek lelaki akan dituduh di Mahkamah Majistret Johor Bahru esok atas kesalahan membunuh, manakala dua lagi suspek dibebaskan dengan jaminan polis untuk dijadikan saksi pendakwaan.