
SUNGAI PETANI, 27 Mac – Proses bedah siasat jenazah pasangan suami isteri yang disyaki dibunuh dalam kejadian di Kampung Belau, Merbok dekat sini, dilaporkan selesai pada Khamis (semalam).
- Proses bedah siasat pasangan suami isteri yang disyaki dibunuh selesai, termasuk pengecaman DNA dan cap jari.
- Jenazah pasangan masih di Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah; dijangka dibawa pulang petang ini; jenazah anak sudah dituntut.
- Polis mengambil keterangan 11 saksi untuk membantu siasatan berhubung kejadian tersebut.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan dalam kenyataan memaklumkan, proses bedah siasat telah dilakukan termasuk proses pengecaman DNA (asid deoksiribonukleik) serta cap jari bagi menentukan identiti dua individu terbabit.
“Jenazah pasangan suami isteri itu yang masih berada di Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar di HSB dijangka dibawa pulang petang ini.
“Setakat pagi tadi, hanya jenazah anak lelaki mereka sudah dituntut keluarga semalam,” menurut kenyataan itu.
Setakat ini polis sudah mengambil keterangan 11 saksi untuk membantu siasatan berhubung kejadian itu. Difahamkan jenazah anak lelaki pasangan itu sudah selamat dikebumikan pada Khamis (semalam).
Sebelum ini media melaporkan, tiga beranak ditemukan meninggal dunia di dalam sebuah rumah di Kampung Belau, Merbok. Pasangan suami isteri itu dikenali sebagai Zikri Abdul Rahman, 65 tahun , dan isterinya, Suraya Man, 53 tahun , manakala anak lelaki wanita terbabit dikenali sebagai Muhammad Shakir Zufayri Abdul Aziz, 29 tahun.