Premis proses sisa plastik tanpa EIA diserbu JAS di Sungai Petani

FOTO JABATAN ALAM SEKITAR KEDAH

SUNGAI PETANI, 10 Mac – Enam mesin pemproses sisa plastik dikenakan tindakan Penahanan Operasi Kelengkapan (POK) oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kedah selepas didapati menjalankan aktiviti kitar semula sisa pepejal tanpa Kelulusan Laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA).

RINGKASAN BERITA AI
  • Op Gempur dijalankan di Kawasan Perindustrian Bukit Selambau bagi membanteras pemprosesan sisa plastik yang melanggar Akta Kualiti Alam Sekeliling.
  • Premis menjalankan pembersihan dan penyemperitan sisa plastik untuk menghasilkan palet plastik.
  • Ditemui kira-kira 1,000 jumbo bag bersamaan 500 tan metrik bahan mentah dan kira-kira 110 tan metrik produk siap.
  • JAS ambil sampel untuk analisis Jabatan Kimia; kes disiasat di bawah Seksyen 34A(6) dengan denda RM100,000 hingga RM1 juta dan penjara sehingga lima tahun.

Tindakan itu diambil menerusi Op Gempur yang dijalankan di sebuah premis di Kawasan Perindustrian Bukit Selambau, di sini, semalam.

Operasi berkenaan bertujuan membanteras aktiviti pemprosesan sisa plastik yang melanggar Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

Pengarah JAS Kedah, Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata, operasi yang bermula pada pukul 9 pagi dan berakhir pada 3 petang itu dilaksanakan hasil pemantauan berterusan penguat kuasa JAS Kedah terhadap aktiviti industri yang berpotensi mencemarkan alam sekitar.

Hasil pemeriksaan mendapati premis terbabit menjalankan aktiviti pembersihan dan penyemperitan sisa plastik bagi menghasilkan palet plastik.

Menurut beliau, JAS Kedah telah mengenakan tindakan POK di bawah Seksyen 38(1)(a), Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 ke atas enam unit mesin penyemperit plastik serta sistem kawalan pencemaran udara yang dipercayai digunakan dalam proses pengeluaran tanpa kebenaran JAS.

Siasatan lanjut turut menemukan sejumlah besar bahan mentah dan produk siap di premis berkenaan.

Antara yang ditemui ialah 1,000 jumbo bag atau kira-kira 500 tan metrik sisa plastik yang dipercayai digunakan sebagai bahan mentah dalam proses pembuatan.

Selain itu, pegawai penguat kuasa turut menjumpai kira-kira 110 tan metrik produk siap iaitu palet plastik yang dipek dalam 4,400 guni, dengan setiap guni dianggarkan seberat 25 kilogram.

JAS Kedah turut mengambil sampel sisa plastik dan palet plastik dari premis berkenaan sebelum dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia untuk analisis makmal.

Kes disiasat awah Seksyen 34A(6), Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 kerana menjalankan aktiviti kitar semula sisa pepejal tanpa kelulusan EIA.

Jika sabit kesalahan, pihak terlibat boleh dikenakan denda minimum RM100,000 sehingga RM1 juta serta penjara mandatori sehingga lima tahun.