
SARATOK, 21 Januari– Seorang lelaki tempatan berusia 27 tahun ditahan polis dalam satu operasi pada Selasa (20 Januari) di Kabong, Saratok, Sarawak selepas didapati positif dadah.
- Seorang lelaki tempatan ditahan di Kabong, Saratok selepas pemeriksaan polis berdasarkan maklumat risikan.
- Ujian saringan menunjukkan positif amphetamine dan syabu.
- Lelaki berkenaan mempunyai sembilan rekod jenayah lampau dan disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a).
Ketua Polis Daerah Saratok, DSP Mathew Manggie berkata tangkapan dilakukan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) dan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Daerah (IPD) Saratok antara pukul 2.00 petang hingga pukul 7.00 malam, hasil maklumat risikan pasukan polis IPD Saratok.
Menurut beliau, sepasukan anggota polis yang telah menjalankan pemeriksaan ke atas seorang lelaki tempatan yang disyaki terlibat dengan penyalahgunaan dadah.
Hasil ujian saringan mendapati suspek positif dadah jenis amphetamine dan syabu manakala semakan lanjut turut mendapati lelaki berkenaan mempunyai sembilan rekod jenayah lampau.
Kes kini disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Polis menegaskan akan terus mempergiatkan operasi dan tindakan tegas bagi membanteras penyalahgunaan dadah di daerah Saratok demi menjamin keselamatan dan kesejahteraan masyarakat.