
JOHOR BAHRU, 13 Januari – Satu laporan polis diterima daripada seorang lelaki berumur 21 tahun, yang mendakwa ditampar seorang lelaki dipercayai anggota polis di sebuah stesen minyak di Johor Bahru, pada Ahad lalu.
- Polis terima laporan seorang lelaki mendakwa ditampar anggota polis di stesen minyak Johor Bahru.
- Empat individu, termasuk saksi, telah dirakam keterangan untuk siasatan mengikut Seksyen 323.
- Anggota yang didakwa masih bertugas kerana tiada arahan pendakwaan mahkamah diterima.
- Anggota dilarang menyertai operasi; penahanan kerja hanya selepas bukti kukuh dan pendakwaan di mahkamah.
Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, setakat ini, pihaknya telah merakam keterangan empat individu, termasuk saksi kejadian, bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.
Menurutnya, anggota terlibat masih bertugas seperti biasa, kerana masih belum menerima arahan pendakwaan di mahkamah.
Bagaimanapun, anggota tersebut tidak dibenarkan untuk menyertai sebarang operasi.
“Tindakan menahan kerja seseorang tertakluk kepada proses dan peraturan yang telah ditetapkan. Proses tahan kerja hanya boleh dilaksanakan apabila terdapat bukti dan keterangan kukuh, serta individu berkenaan telah didakwa di mahkamah, walaupun belum disabitkan kesalahan.
“Hanya selepas syarat ini dipenuhi, barulah tindakan penahanan kerja boleh diambil”, katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini.