Polis tahan penganggur, disyaki terlibat sindiket pengedaran dadah

ALOR GAJAH, 7 Januari -Seorang penganggur ditahan Polis Alor Gajah selepas disyaki terlibat sindiket pengedaran dadah.

RINGKASAN BERITA AI
  • Rampasan 23 peket heroin dan tujuh peket syabu dianggarkan seberat 36.73 gram, bernilai lebih RM1,300.
  • Dadah dipercayai untuk pasaran tempatan dan boleh digunakan oleh kira-kira 73 penagih.
  • Sindiket dikatakan aktif sejak Oktober 2025, siasatan diteruskan untuk mengesan rangkaian masih bebas.
  • Suspek mempunyai empat rekod lampau berkaitan dadah; saringan air kencing positif morphine.

Ketua Polis Alor Gajah, Supritendan Ahmad Abu Bakar berkata suspek, 26 tahun, ditahan pada 4 Januari lalu di sekitar Jalan Baharu Ayer Limau – Jeram, Masjid Tanah.

“Hasil pemeriksaan menjumpai 23 peket plastik lutsinar berisi bahan disyaki dadah jenis heroin dianggarkan seberat 31.26 gram dan sebanyak tujuh peket plastik lutsinar bahan disyaki dadah jenis syabu dianggarkan seberat 5.47 gram,” menurut Ahmad dalam satu kenyataan.

Kesemua rampasan dadah dianggar bernilai lebih RM1,300 dan dipercayai untuk pasaran tempatan yang boleh digunakan seramai 73 penagih.

Sindiket dipercayai aktif sejak Oktober 2025.

Semakan rekod lampau mendapati suspek mempunyai empat rekod bawah Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15 (1) (a) akta sama.

Saringan awal ujian air kencing juga mendapati suspek positif dadah jenis morphine.

Kes disiasat bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. Siasatan masih diteruskan bagi mengesan rangkaian sindiket yang masih bebas.