Polis rampas 98.7kg syabu bernilai RM4.9 juta, lelaki 20 tahun ditahan

Polis merampas hampir 99 kilogram syabu bernilai RM4.9 juta selepas menahan seorang lelaki berusia 20 tahun/Foto RTM

KANGAR, 13 Februari – Polis merampas hampir 99 kilogram dadah jenis syabu bernilai kira-kira RM4.9 juta selepas menahan seorang lelaki berusia 20 tahun dalam satu operasi di Padang Besar.

RINGKASAN BERITA AI
  • Suspek dipercayai menggunakan laluan tikus sempadan Padang Besar-Thailand untuk penyeludupan dadah ke selatan negara.
  • Suspek bertindak agresif ketika ditahan sehingga polis melepaskan tembakan ke tayar untuk memberhentikan kenderaan.
  • Hasil saringan air kencing positif ketamin dan suspek mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah serta ketum.

Ketua Polis Perlis, Datuk Muhammad Abdul Halim berkata suspek dipercayai menggunakan laluan tikus di sempadan Padang Besar-Thailand sebagai laluan penyeludupan sebelum bekalan dadah dibawa ke selatan negara.

Menurutnya ketika cuba ditahan, suspek bertindak agresif dengan memandu secara melulu sehingga pasukan serbuan terpaksa melepaskan tembakan ke arah tayar kenderaan bagi memberhentikan kenderaan berkenaan.

“Di dalam pemeriksaan pihak polis mendapati terdapat empat guni yang mengandungi serbuk putih yang di dalamnya disyaki dadah jenis syabu dengan anggaran berat 98.7 kilogram dengan nilai semasa RM4.936 juta yang mana mengikut anggaran berat dadah tersebut mampu untuk mendatangkan bahaya kepada 493,000 orang pengguna,” katanya.

Suspek direman hingga 16 Februari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Hasil saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis ketamin selain mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah dan ketum.