
LUNDU, 16 Februari – Polis meminta kerjasama orang ramai bagi mengesan suspek, Juli Mangkok yang masih lolos sejak Khamis lepas susulan kes bunuh di sini.
- Polis meminta kerjasama orang ramai untuk menyalurkan maklumat mengenai keberadaan suspek bagi membantu siasatan.
- Siasatan melibatkan kes bunuh dengan mangsa mengalami kecederaan pada muka dan hidung berdarah sebelum disahkan meninggal.
- Maklumat suspek telah dikongsi dengan semua ibu pejabat polis daerah di seluruh Sarawak untuk mempercepat pengecaman.
Ketua Polis Daerah Lundu, Superintenden Sudirman Kram ketika dihubungi memaklumkan, suspek masih belum dapat dijejaki.
“Suspek yang berumur 33 tahun itu kini disenarai sebagai individu dikehendaki bagi membantu siasatan kes bunuh yang melibatkan seorang pekerja buruh berumur 18 tahun.
“Suspek berketinggian 174 meter, berkulit sawo matang, berambut pendek hitam dan mempunyai tahi lalat di pipi sebelah kiri,” katanya.
Mengenai penjejakan itu, pihaknya juga telah berkongsi maklumat dengan semua ibu pejabat polis daerah di seluruh negeri Sarawak.
Orang ramai yang mempunyai maklumat keberadaan suspek terbabit boleh menyalurkan maklumat ke balai polis terdekat.
Pada awal pagi Khamis lalu, seorang mangsa disahkan mati selepas dikejarkan ke Hospital Umum Sarawak dengan beberapa kesan bengkak di bahagian mata dan pipi, selain darah kering keluar dari hidung mangsa.
Polis percaya mangsa sebelum itu mengadakan perjumpaan sosial bersama rakan sekerjanya di rumah sewa di daerah terbabit sebelum berlaku pertengkaran. Kes disiasat bawah seksyen 302, kanun keseksaan.