Polis kenal pasti lokasi ‘Luna’, dalang sindiket bunga ganja

Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat/Foto BERNAMA

TUMPAT, 15 Februari – Polis Kelantan mengenal pasti lokasi seorang wanita dikenali sebagai Luna yang diburu kerana dipercayai dalang utama sindiket penyeludupan bunga ganja di Kuala Krai, Januari lalu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Polis Kelantan kenal pasti lokasi wanita dikenali sebagai Luna yang diburu sebagai dalang sindiket bunga ganja.
  • Perkembangan hasil kerjasama erat antara polis Kelantan dan pihak berkuasa Thailand.
  • Usaha membawa pulang Luna untuk siasatan lanjut dijangka dilaksanakan dalam masa terdekat.
  • Sindiket dipercayai aktif sejak September 2024 dan Luna disyaki memiliki dwikerakyatan.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, perkembangan itu hasil kerjasama pihaknya dengan polis Thailand bagi mengesan wanita berusia lingkungan 30-an berkenaan.

Usaha membawa pulang suspek untuk siasatan lanjut dijangka dapat dilaksanakan dalam masa terdekat.

“Kita masih bekerjasama dengan pihak berkuasa Thailand untuk membawa beliau ke Malaysia bagi siasatan lanjut dan insya-Allah dapat dibawa balik dalam masa terdekat,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Program Advokasi Kempen Kesedaran dan Keselamatan Jalan Raya bersempena Op Selamat 25 Tahun Baharu Cina 2026 di Pasir Pekan.

Luna dipercayai dalang utama sindiket penyeludupan bunga ganja bernilai RM1.82 juta yang dirampas dalam serbuan di Kuala Krai pada 3 Januari lalu.

Pada 11 Januari, polis menumpaskan sindiket pengedaran dadah di Kelantan susulan penahanan tiga lelaki tempatan serta rampasan 52 kilogram bunga ganja menerusi dua siri serbuan di Kuala Krai.

Sindiket yang dipercayai aktif sejak September 2024 itu disyaki didalangi wanita dari negara jiran yang dipercayai memiliki dwikerakyatan.