
PULAU PINANG, 23 Februari – Polis Pulau Pinang menumpaskan sindiket memproses dan menyimpan dadah jenis syabu dengan rampasan berjumlah 10,332 gram.
- Rampasan keseluruhan 10,332 gram syabu dan 8,032 gram heroin dalam tiga serbuan berasingan di Pulau Pinang.
- Tiga lelaki tempatan ditahan, berumur 37 hingga 58 tahun, semua negatif ujian saringan air kencing.
- Rampasan termasuk peralatan pemprosesan dadah, kenderaan, barangan kemas dan wang tunai, nilai dianggarkan RM1.2 juta.
- Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, boleh dihukum mati atau penjara seumur hidup.
Kejayaan itu turut membawa kepada penahanan tiga lelaki tempatan dalam tiga serbuan berasingan yang dijalankan di Seberang Perai Utara dan Barat Daya.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Aziziee Ismail berkata, dalam operasi berkenaan pihaknya turut merampas 8,032 gram heroin selain peralatan memproses dadah serta menyita kenderaan, barangan kemas dan wang tunai.
“Jumlah keseluruhan rampasan dan sitaan dianggarkan bernilai RM1.2 juta. Ketiga-tiga suspek berumur antara 37 hingga 58 tahun dan hasil ujian saringan air kencing mendapati mereka negatif dadah.
“Hanya seorang daripada suspek mempunyai rekod lampau berkaitan kesalahan jenayah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kesemua suspek direman selama tujuh hari sehingga 27 Februari ini bagi membantu siasatan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup serta sebatan jika sabit kesalahan.