Polis gagalkan sindiket penyeludupan migran, lapan lelaki ditahan

Lapan ditahan dalam Op Op Pintas Bersepadu/ Op Taring Landai di kawasan perairan laut Kukup.

PONTIAN, 3 April – Lapan lelaki warganegara Indonesia ditahan dipercayai terlibat dalam kegiatan penyeludupan migran dan keluar masuk Malaysia melalui jalan tidak diwartakan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Operasi di perairan Kukup, Pontian, Johor, menyasarkan kegiatan penyeludupan migran melalui laluan tidak diwartakan.
  • Turut dirampas dua buah bot, tiga telefon bimbit dan nilai rampasan dianggarkan RM50,000.
  • Saringan mendapati lima individu positif methamphetamine; siasatan dijalankan mengikut SOSMA, Akta Imigresen, ATIPSOM dan Akta Dadah.

Penahanan dibuat menerusi Op Pintas Bersepadu/ Op Taring Landai di kawasan perairan laut Kukup, Pontian, Johor, pada Rabu dan Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Hadzrat Hussien Mion Hussain
berkata, lima daripada mereka iaitu seorang penjaga rumah penampungan, seorang tekong laut dan tiga migran, ditahan pada Rabu.

Manakala, tiga lelaki terdiri daripada seorang tekong darat, seorang tekong laut dan seorang pembantu penjaga rumah penampungan, ditahan semalam.

“Kesemua ditahan berusia antara 21 hingga 36 tahun. Risikan dijalankan selama dua minggu di kawasan berkenaan, selain tumpuan di kawasan berpotensi yang menjalankan kegiatan membawa keluar masuk migran termasuk di rumah sangkar ikan.

“Turut dirampas, dua buah bot dan tiga telefon bimbit dengan nilai rampasan 50 ribu ringgit.” katanya dalam satu kenyataan.

Tambah beliau lagi, saringan ujian air kencing turut mendapati, lima individu positif Methamphetamine.

Kes disiasat mengikut Seksyen 4(5) SOSMA 2012, Seksyen 51(5)(b) Akta Imigresen 1957, Seksyen 26A ATIPSOM 2007, Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 15(1)(A) Akta Dadah Berbahaya 1952.