
KUALA LUMPUR, 18 Februari – Polis sedang mengesan empat lelaki dipercayai terlibat dalam kes kecurian kabel milik Tenaga Nasional Berhad (TNB) berhampiran Pangsapuri D’Kayangan Setia Ecohill, Semenyih.
- Polis mengesan empat lelaki disyaki mencuri kabel milik TNB berhampiran Pangsapuri D’Kayangan Setia Ecohill, Semenyih.
- Insiden dilaporkan pada 6.54 pagi; suspek menggunakan kenderaan berwarna kelabu semasa melakukan kecurian.
- Suspek memotong kabel dipercayai milik TNB dan melarikan diri selepas ditegur penduduk setempat.
- Kes disiasat di bawah Seksyen 431A Kanun Keseksaan; orang ramai diminta menghubungi nombor polis yang disediakan.
Ketua Polis Daerah Kajang, Penolong Pesuruhjaya Polis ACP Naazron Abdul Yusof menerusi satu kenyataan memaklumkan, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada 6.54 pagi semalam.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati empat suspek yang identiti mereka belum dikenal pasti menggunakan sebuah kenderaan berwarna kelabu untuk melakukan kegiatan tersebut.
“Suspek dikesan sedang memotong kabel yang disyaki milik TNB sebelum melarikan diri selepas ditegur penduduk setempat,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 431A Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat dengan memotong kabel.
Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi balai polis berhampiran atau Pegawai Penyiasat Kes, Sarjan Nadzul Majdi Abu Seman di talian 017-4661757.
Maklumat juga boleh disalurkan menerusi talian kecemasan 999 atau Pusat Kawalan Polis Daerah Kajang di 03-89114243.
Terdahulu, tular rakaman video berdurasi 2.07 minit menunjukkan empat lelaki dipercayai mencuri kabel milik TNB berhampiran Pangsapuri D’Kayangan Setia Ecohill, Semenyih.