
KUALA LUMPUR, 12 November – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengecam keras tindakan seorang warga asing yang menyerang anggota polis ketika menjalankan tugas di Kepong, semalam.
- Perdana Menteri mendoakan anggota polis terlibat segera pulih melalui perkongsian di Facebook rasminya.
- Menegaskan bahawa sebarang jenayah dan keganasan terhadap anggota penguatkuasa tidak boleh diterima.
- Menuntut tindakan tegas terhadap pelaku jenayah tanpa mengira latar belakang atau kewarganegaraan.
- Menekankan pentingnya mempertahankan kedaulatan undang-undang dan menjamin keselamatan anggota penguat kuasa bertugas.
Menerusi perkongsian di Facebook rasminya, Datuk Seri Anwar turut mendoakan agar anggota polis yang terlibat segera diberikan kesembuhan.
“Sebarang bentuk jenayah dan keganasan, terutama terhadap anggota penguatkuasa yang menjalankan amanah melindungi keselamatan rakyat, sama sekali tidak boleh diterima,” katanya.
Tambahnya, tindakan tegas perlu diambil terhadap mana-mana individu yang melakukan jenayah tanpa mengira latar belakang atau kewarganegaraan.
Menurutnya, langkah itu penting bagi mempertahankan kedaulatan undang-undang serta menjamin keselamatan anggota penguat kuasa yang sedang menjalankan tugas.