PGA tumpaskan sindiket dadah, rampas 28kg ganja di Sematan

FOTO PGA SARAWAK

KUCHING, 2 April – Pasukan Gerakan Am (PGA) Sarawak menumpaskan satu sindiket penyeludupan dadah berskala besar dengan rampasan ganja seberat 28 kilogram dalam operasi di Sematan, bulan lalu.

RINGKASAN BERITA AI
  • PGA merampas 1,250 gram katrij vape disyaki cecair ganja dan bahan disyaki metamfetamin berbentuk kristal.
  • Dua lelaki warga Indonesia ditahan dan disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
  • Operasi antara 16 hingga 31 Mac, sebahagian daripada 21 siri Op Taring, dengan jumlah keseluruhan rampasan mencapai RM9.49 juta.

Komander Briged PGA Sarawak, Penolong Kanan Pesuruhjaya Polis SAC Lim Bak Phai berkata, pihaknya turut merampas 1,250 gram katrij vape disyaki mengandungi cecair dadah jenis ganja, selain bahan disyaki metamfetamin berbentuk kristal.

Menurutnya, keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM1.58 juta.

Dalam operasi itu, dua lelaki warga Indonesia turut ditahan dan kini disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Ia antara 21 siri operasi yang dijalankan menerusi Op Taring Alpha, Op Taring Bravo, Op Taring Chiller dan Op Taring Batas/Awas,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Operasi berkenaan dilaksanakan dari 16 hingga 31 Mac lalu di seluruh Sarawak dengan jumlah keseluruhan rampasan mencecah RM9.49 juta.

SAC Lim berkata, kejayaan itu mencerminkan komitmen berterusan PGA dalam membanteras aktiviti penyeludupan di kawasan sempadan.