
KUALA LUMPUR, 10 Februari – Sebanyak 10 premis disyaki menjual vape tanpa kebenaran diserbu Briged Tengah Pasukan Gerakan Am (PGA) dalam Op E-CIG di Chow Kit hari ini.
- PGA menyerbu 10 premis di Chow Kit kerana disyaki menjual vape tanpa kebenaran.
- Premis didapati melakukan pelbagai kesalahan termasuk perlesenan, cukai, dan tiada permit.
- Angka rampasan dan nilai barangan belum diumumkan pending pemeriksaan terperinci.
- Operasi sama mungkin akan diteruskan dan keputusan rasmi diumum dalam sidang media Khamis.
Komander Briged Tengah PGA, Senior Asisten Komisioner Hakemal Hawari berkata operasi dijalankan bagi membanteras penjualan peranti dan produk vape tanpa kelulusan pihak berkuasa.
“Beberapa premis ini telah kita kenal pasti dan telah kita laksanakan pemeriksaan dan hasilnya memang wujud kesalahan tertentu sama ada di bawah PBT ataupun di bawah KKM.
“Boleh dikatakan semua ada kesalahan tetapi ada pelbagai kesalahan antaranya perlesenan, cukai, tiada permit dan menggaji pekerja asing. Buat masa ini kita tengok apa jenis kesalahan, kalau PBT kita pulangkan kepada PBT bergantung kepada arahannya. Perinciannya akan ditentukan kemudian,” katanya.

Hakemal berkata angka rasmi rampasan dan nilai barangan belum dapat diumumkan kerana pemeriksaan terperinci masih dijalankan.
Jelas beliau, pihaknya tidak menolak kemungkinan operasi serupa akan diteruskan di lokasi lain dalam usaha berterusan membanteras penjualan vape tanpa kebenaran.
Maklumat lengkap termasuk hasil pemeriksaan dan tindakan penguatkuasaan dijangka diumumkan secara rasmi dalam satu sidang media yang akan diadakan Khamis ini.