PGA Sarawak rampas produk sejuk beku tanpa dokumen sah bernilai RM11.1 juta

FOTO PGA SARAWAK

KUCHING, 16 Januari – Pasukan Gerakan Am (PGA) Sarawak menyerbu dua premis menyimpan dan menjual produk sejuk beku tanpa dokumen atau permit sah, dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM11.1 juta.

RINGKASAN BERITA AI
  • Operasi PGA Sarawak serbu dua premis simpan dan jual produk sejuk beku tanpa dokumen sah di Kuching dan Miri.
  • Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM11.1 juta, melibatkan ratusan ribu kilogram produk sejuk beku.
  • Tangkap tiga individu tempatan berumur 38 hingga 60 tahun untuk membantu siasatan.
  • Kes disiasat di bawah Seksyen 9(1), Ordinan Kesihatan Awam Veterinar 1999.

Menurut Komander Briged Sarawak, Penolong Kanan Pesuruhjaya Polis SAC Lim Bak Phai, operasi itu dijalankan di Kuching dan Miri pada Khamis. Dalam serbuan berkenaan, tiga individu tempatan berumur antara 38 hingga 60 tahun ditahan bagi membantu siasatan.

“Dalam operasi di Kuching, pihak kami merampas lebih 116,000 kilogram produk sejuk beku, termasuk daging babi, ayam dan lembu, selain pelbagai peralatan pemprosesan makanan, kemudahan stor sejuk beku serta jentera industri,” kata SAC Lim.

Manakala di Miri, pihak PGA merampas kira-kira 40,000 kilogram pelbagai jenis produk sejuk beku, dua buah stor sejuk beku serta sebuah jentera forklift.

Kes disiasat mengikut Seksyen 9(1), Ordinan Kesihatan Awam Veterinar 1999.

Makan Sihat, Hidup Sihat: Bagaimana Ajinomoto (Malaysia) Berhad Membentuk Gaya Hidup Lebih Sihat di Malaysia

Artikel Tajaan