PGA rampas 14 lembu disyaki cuba diseludup di Tanah Merah

Foto: PGA Kuala Terengganu

TANAH MERAH, 27 Julai- Cubaan membawa masuk 14 ekor lembu dipercayai secara haram terbongkar selepas anggota Cawangan Risik Batalion 9 Pasukan Gerakan Am (PGA) Kuala Terengganu menahan sebuah lori membawa haiwan berkenaan di tepi Lebuhraya Timur-Barat, di sini, semalam.

RINGKASAN BERITA AI
  • Operasi dilakukan kira-kira pukul 8.00 malam ketika rondaan, menahan sebuah lori mencurigakan di Simpang Tiga Lampu Isyarat Gual Ipoh.
  • Lori membawa lembu pedaging tanpa dokumen; muatan disyaki diseludup masuk melalui laluan tidak diwartakan.
  • Seorang pemandu lelaki berusia 25 tahun ditahan; lori dan lembu diserahkan kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar Kelantan.
  • Nilai rampasan dianggarkan RM334,000 melibatkan sebuah lori Hino dan lembu; kes disiasat mengikut Seksyen 36(1) Akta Binatang 1953.

Komander Briged Tenggara PGA, SAC Ahmad Radzi Hussain berkata penahanan itu dilakukan kira-kira pukul 8.00 malam ketika pasukan berkenaan menjalankan rondaan dan pemantauan di sekitar daerah Tanah Merah.

Katanya, pasukan operasi mengesan sebuah lori dalam keadaan mencurigakan di Simpang Tiga Lampu Isyarat Gual Ipoh sebelum menahannya untuk pemeriksaan.

“Hasil pemeriksaan mendapati lori tersebut membawa 14 ekor lembu pedaging, namun pemandu gagal mengemukakan sebarang dokumen atau permit berkaitan muatan berkenaan.

“Pemeriksaan lanjut mendapati lembu terbabit disyaki telah diseludup masuk ke Malaysia melalui laluan tidak diwartakan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata seorang lelaki berusia 25 tahun yang merupakan pemandu lori berkenaan turut ditahan sebelum diserahkan bersama lori dan kesemua lembu kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) Negeri Kelantan untuk tindakan lanjut.

“Nilai keseluruhan rampasan melibatkan sebuah lori dan 14 ekor lembu pedaging dianggarkan RM334,000,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 36(1) Akta Binatang 1953.

SAC Ahmad berkata modus operandi penyeludupan dipercayai menggunakan lori yang ditutup sepenuhnya bagi menyembunyikan muatan lembu daripada dikesan pihak berkuasa serta bergerak pada waktu senja hingga malam bagi mengurangkan risiko pemeriksaan.

Beliau berkata kejayaan itu hasil risikan dan rondaan berterusan Cawangan Risik Batalion 9 PGA yang berjaya memutuskan rantaian penyeludupan ternakan di kawasan sempadan.

“Kerjasama strategik antara PDRM (PGA) dan DVS Kelantan akan terus diperkukuhkan bagi meningkatkan keberkesanan penguatkuasaan serta membanteras aktiviti penyeludupan ternakan di negeri Kelantan,” katanya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.