
KUALA TERENGGANU, 11 November – Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tenggara menahan 10 individu dan merampas lebih 10 tan makanan sejuk beku di Pahang, Terengganu dan Kelantan.
- Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM319,825.10 dan kompaun sebanyak RM7,500.
- Rampasan besar ayam dan sosej ditemui di premis stor dan kedai di Terengganu, Kelantan serta premis pemprosesan di Pahang.
- Operasi Op Salju Mega dijalankan secara bersepadu dengan kerjasama agensi seperti KKM, DVS, KPDN, MAQIS, Jabatan Agama dan LHDN.
Menerusi Op Salju Mega yang dilaksanakan dari 9 hingga 11 November lalu itu turut menyaksikan hasil nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM319,825.10 serta koompaun sebanyak RM7,500.00.
Komander Briged Tenggara PGA, SAC Datuk Ahmad Radzi Hussain berkata, operasi bersepadu itu dilaksanakan bagi membanteras kegiatan penyeludupan makanan sejuk beku secara haram serta melumpuhkan rangkaian kartel.
“Di Terengganu, serbuan di dua lokasi, masing-masing sebuah kedai runcit dan stor penyimpanan makanan sejuk beku, membawa kepada penahanan seorang individu serta rampasan 6,217.5 kilogram makanan sejuk beku yang dianggarkan bernilai RM106,332.50.
“Pemeriksaan turut menemukan 500 kotak ayam Frozen Chicken Chop dengan berat keseluruhan 6,000 kilogram di sebuah stor penyimpanan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Sementara itu, di Kelantan, seorang individu ditahan hasil pemeriksaan di dua lokasi di Kampung Pasir Tumboh, Kota Bharu, pada 10 November.
Operasi berkenaan membawa kepada rampasan 1,130 paket sosej pelbagai jenis dan 2,508 kg ayam sejuk beku dengan nilai keseluruhan RM76,745.00
Pemeriksaan Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) turut mendapati premis berkenaan beroperasi tanpa lesen perniagaan yang sah selain kesalahan berkaitan kebersihan.
Tindakan itu menyaksikan kompaun keseluruhan RM5,500 dikenakan terhadap premis dan barangan berkenaan.
Di Pahang pula, serbuan di sebuah premis pemprosesan ayam di Felda Chini 4, Pekan, pada 11 November membawa kepada penahanan lapan lelaki warga tempatan yang terdiri daripada pemilik premis dan pekerja.
“Pemeriksaan menemukan 577 ekor ayam dengan berat keseluruhan 1,412.3 kg, merangkumi 217 ekor ayam diproses serta 360 ekor ayam hidup.
“Rampasan turut membabitkan sebuah lori jenis, 66 unit raga ayam, sebuah mesin merebus ayam, dua mesin pemprosesan ayam, dua peti sejuk beku dan sebuah alat penimbang digital,” katanya.
Keseluruhan rampasan di Pahang dianggarkan bernilai RM136,747.60.
Kesemua lapan individu yang ditahan serta barang rampasan diserahkan kepada agensi berkaitan untuk tindakan lanjut mengikut bidang kuasa masing-masing.
Secara keseluruhan, Op Salju Mega membabitkan enam lokasi sasaran di tiga negeri dengan tiga sasaran positif dan tiga lagi negatif.
Op Salju Mega dilaksanakan melalui kerjasama enam agensi.
Antaranya, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS), Jabatan Agama Islam Negeri, pihak berkuasa tempatan serta Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).