
DUNGUN, 16 Februari – Seorang penyelia tapak projek maut selepas motosikal yang ditunggangnya terbabit dalam nahas jalan raya dengan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) di Kilometer 92, Jalan Kuala Terengganu–Kuantan dekat Kampung Nyior, Paka, di sini pagi tadi.
- Penyelia tapak projek, Zulkiflee Jusoh, 42, maut selepas motosikalnya merempuh sebuah SUV di KM92 Jalan Kuala Terengganu–Kuantan.
- Siasatan awal mendapati SUV dipercayai membelok kanan di persimpangan lalu motosikal gagal mengelak.
- Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987; mayat dihantar ke Hospital Dungun untuk bedah siasat.
Dalam kejadian kira-kira 9.20 pagi itu, mangsa Zulkiflee Jusoh, 42, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah pada bahagian kepala dan anggota badan.
Ketua Polis Daerah Dungun Supt Maizura Abdul Kadir berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu dan siasatan awal mendapati mangsa dalam perjalanan dari arah bandar Dungun menuju ke tempat kerjanya di Kawasan Perindustrian Paka.
“Sejurus tiba di lokasi kejadian, sebuah SUV dipandu lelaki berusia 63 tahun dari arah Bandar Paka dipercayai membelok ke kanan di satu persimpangan jalan.
“Motosikal mangsa gagal mengelak lalu merempuh kenderaan tersebut,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau berkata mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan mayatnya dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Dungun untuk bedah siasat.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.