Peniaga rugi RM335,450 terpedaya skim pelaburan saham palsu

FOTO HIASAN

KUANTAN, 8 Februari – Seorang peniaga di Kuantan mengalami kerugian RM335,450 selepas terpedaya dengan skim pelaburan saham tidak wujud yang ditawarkan secara dalam talian.

RINGKASAN BERITA AI
  • Peniaga 51 tahun di Kuantan rugi RM335,450 selepas ditipu skim pelaburan saham palsu yang diiklankan di Facebook.
  • Mangsa melakukan 19 pemindahan wang ke dua akaun selepas memuat turun aplikasi palsu "MIBBT" dan dijanjikan pulangan tinggi.
  • Pihak polis menyiasat di bawah Seksyen 420; orang ramai dinasihatkan semak nombor akaun melalui portal Semak Mule RMP sebelum transaksi.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, mangsa berusia 51 tahun itu tertarik dengan iklan pelaburan saham yang dilihat di laman media sosial Facebook pada 19 November tahun lalu.

Menurut beliau, mangsa kemudiannya berhubung dengan seorang suspek menerusi aplikasi WhatsApp sebelum ditawarkan pelaburan saham yang menjanjikan pulangan keuntungan 12 peratus dalam tempoh antara tiga hingga tujuh hari, dengan modal permulaan RM10,000.

“Suspek seterusnya memberikan satu pautan kepada mangsa untuk memuat turun dan membuat pelaburan melalui aplikasi yang dikenali sebagai ‘MIBBT’,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, mangsa melakukan sebanyak 19 transaksi pemindahan wang ke dua akaun bank berbeza dalam tempoh 4 Disember 2025 hingga 27 Januari lalu.

“Menerusi aplikasi berkenaan, mangsa dimaklumkan kononnya memperoleh keuntungan melebihi RM2.4 juta. Namun, apabila ingin mengeluarkan keuntungan tersebut, mangsa diminta membuat bayaran tambahan sebanyak 10 peratus daripada jumlah keuntungan sebagai syarat pengeluaran,” katanya.

Menurut Yahaya, mangsa mula berasa curiga sebelum menyedari dirinya ditipu, dengan siasatan mendapati sumber kewangan digunakan adalah daripada wang simpanan serta pinjaman.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan agar membuat semakan nombor akaun melalui portal Semak Mule Polis Diraja Malaysia di https://semakmule.rmp.gov.my/ sebelum melakukan sebarang transaksi kewangan bagi mengelakkan menjadi mangsa penipuan.