Penganggur didakwa bunuh ahli perniagaan

FOTO BERNAMA

KUALA LUMPUR, 27 Mac – Seorang lelaki yang melarikan diri selama empat tahun dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh seorang ahli perniagaan pada 2022.

RINGKASAN BERITA AI
  • Tertuduh V.V. Vadivelu, 39, didakwa bersama tiga lagi membunuh mangsa Goh Chok Chuan, 63.
  • Kejadian didakwa berlaku di parkir Amarin Kiara, Mont Kiara sekitar 11.40 malam pada 11 Julai 2022.
  • Pertuduhan mengikut Seksyen 302 dibaca bersama Seksyen 34; hukuman mati atau penjara 30 hingga 40 tahun dan sebatan.
  • Tiada pengakuan direkodkan; pendakwa tidak menawarkan jaminan; sebutan semula ditetapkan 8 Jun untuk pindahan ke Mahkamah Tinggi.

Tertuduh, V.V. Vadivelu, 39, didakwa bersama tiga lagi individu yang telah dituduh sebelum ini membunuh mangsa, Goh Chok Chuan, 63.

Kejadian didakwa berlaku di parkir berhampiran pondok pengawal Amarin Kiara, Mont Kiara, kira-kira pukul 11.40 malam pada 11 Julai 2022.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang membawa hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun serta sebatan, jika sabit kesalahan.

Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh di hadapan Majistret MS Arunjothy kerana kes bunuh berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, M. Alli Nangai yang tidak menawarkan jaminan memandangkan kesalahan tersebut tidak boleh dijamin.

Mahkamah menetapkan 8 Jun depan untuk sebutan semula kes bagi membolehkan proses pemindahan ke Mahkamah Tinggi.

Sementara itu, tiga lagi tertuduh sebelum ini telah dijatuhi hukuman selepas mengaku bersalah di bawah Seksyen 304(b) Kanun Keseksaan.

Terdahulu, media melaporkan pihak polis dalam kenyataan memaklumkan saksi kejadian terdengar tiga das tembakan sebelum mayat mangsa ditemukan di lokasi kejadian.

Mangsa dipercayai berada di kediaman rakannya di Amarin Kiara sebelum ditembak berhampiran kenderaannya yang diparkir di luar kawasan perumahan berkenaan.