PDRM tumpas dua sindiket pemerasan seksual, pecah rumah

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail bercakap dalam sidang media di Bukit Aman/Foto RTM

KUALA LUMPUR, 10 Februari – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menumpaskan dua sindiket jenayah terancang membabitkan pemerasan seksual dalam talian dan pecah rumah bersiri dengan kerugian melebihi RM4 juta.

RINGKASAN BERITA AI
  • Op Bugil bongkar sindiket pemerasan seksual dalam talian menggunakan akaun palsu, panggilan lucah dan pautan phishing.
  • Mangsa diperdaya dengan tawaran pekerjaan luar negara, dieksploitasi, didera dan dokumen peribadi dirampas.
  • Enam suspek ditahan bawah SOSMA; semua ada rekod jenayah serius dan akan didakwa di Mahkamah Sesyen.
  • Op Shutter pecah rumah mendedahkan sekurang-kurangnya 32 kes kehilangan lebih RM1 juta, suspek menggunakan alat khusus untuk mengumpil.

Menerusi Op Bugil, sindiket memperdaya mangsa melalui akaun media sosial palsu sebelum merakam panggilan video lucah untuk tujuan ugutan dan pemerasan wang.

Mangsa turut dihantar pautan phishing yang membolehkan suspek menggodam telefon bimbit serta mencuri data peribadi, dengan kerugian dilaporkan melebihi RM3 juta sejak tahun lalu.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata mangsa juga diperdaya dengan tawaran pekerjaan di luar negara sebelum dieksploitasi.

“Mangsa ditawarkan pekerjaan di luar negara dengan gaji sehingga USD2,500. Mereka dipaksa bekerja sehingga 12 jam sehari, dikawal pergerakan, dirampas dokumen pengenalan serta didera secara fizikal dan seksual jika enggan menurut arahan.”

Datuk Seri Mohd Khalid berkata demikian kepada pemberita dalam satu sidang media di Bukit Aman, hari ini.

Foto RTM

Seramai enam suspek berumur antara 18 hingga 33 tahun ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) dalam operasi pada 15 Januari lalu.

Semua suspek mempunyai rekod jenayah serius termasuk pemerdagangan orang, pornografi kanak-kanak, rompakan bersenjata dan pengedaran dadah.

Mereka akan didakwa di Mahkamah Sesyen Johor Bahru pada 12 Februari di bawah Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan.

Sementara itu, Op Shutter membongkar sindiket pecah rumah dan kedai melibatkan sekurang-kurangnya 32 kes dengan kerugian melebihi RM1 juta.

Suspek menyasarkan rumah kosong dan premis berpintu shutter dengan mengumpil pintu menggunakan peralatan khas sebelum melarikan wang tunai, barang kemas dan kenderaan.

Datuk Seri Mohd Khalid berkata dua suspek berumur 22 dan 26 tahun ditahan di bawah SOSMA, manakala empat lagi ahli kumpulan telah dikenal pasti dan kini dipenjarakan atas kesalahan lain.

“Empat lagi ahli kumpulan berumur antara 22 hingga 38 tahun telah dikenal pasti dan kini berada dalam tahanan di Penjara Kluang atas kesalahan lain,” katanya.

Kesemua suspek akan didakwa di bawah Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara lima hingga 20 tahun.